Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Sekolah Tunas Jaya Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei cawangan Lambak (STJ PGGMB Lambak) telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Bumi 2024 di sekolah berkenaan kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu adalah Tuan Ganesan dan turut hadir Guru Besar STJ iaitu Haji Roslan bin Haji Mohd Hassan.
Majlis diteruskan dengan hari memperingati ulang tahun penubuhan STJ PGGMB Lambak ke-34 tahun dan diserikan dengan Hari Keusahawanan Muda.
Di majlis itu, Haji Roslan dalam ucapan alu-aluan antara lain mengongsikan tujuan majlis bagi meningkatkan kesedaran dan langkah-langkah untuk menjaga alam sekitar di mana institusi pendidikan juga tidak terkecuali dalam sama-sama memainkan peranannya.
Majlis kemudian diserikan dengan persembahan nyanyian koir berkonsepkan alam dan bumi. Lagu Fly Fly The Butterfly dan Rain-Rain Go Away dipersembahkan oleh murid-murid Pra 1 dan 2 bagi menggambarkan kesedaran mengenai alam sekitar kepada kehidupan semua.
Sementara itu, pameran kraftangan murid-murid turut diadakan di majlis itu untuk memberi kesedaran akan kebaikan dan kepentingan amalan kitar semula kepada masyarakat. Turut dipamerkan dalam acara ini ialah haiwan-haiwan peliharaan eksotik dan juga kucing.
Adalah penting untuk menerapkan kepentingan kitar semula kepada semua pihak termasuk kanak- kanak dalam memelihara alam semula jadi yang juga turut mempengaruhi kesihatan haiwan-haiwan.

GAMBAR – GAMBAR SERAHAN STJ PGGMB LAMBAK.

