Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    STJ PGGMB Lambak terima lawatan dari SR Unity, Singapura

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept- Rombongan seramai 35 orang dari Sekolah Rendah Unity, Singapura yang terdiri daripada 5 orang guru bersama-sama 30 orang murid telah mengadakan lawatan ke Sekolah Tunas Jaya (STJ) PGGMB Lambak, baru-baru ini.

    Rombongan dari Sekolah Rendah Unity diketuai oleh Pembangun Kakitangan Sekolah (School Staff Developer), Puan Soh Lim Fun Yen, Penolong Ketua Tahun, Rendah Atas, Puan Zunur’ain Othman, Ketua Subjek/PE, Hairil Akhmal bin Sokrani, Ketua Peringkat / Bahasa Cina, Ow Hui Qin dan Ketua Subjek / Pengurus Murid, Nabarudin bin Shariff.

    Lawatan itu merupakan Program Pengantarabangsaan dan Persahabatan kedua-dua buah sekolah dan negara dengan matlamat untuk menjalin kerjasama dan kolaborasi di antara kedua-dua buah sekolah dalam bidang pendidikan, sosial, kebudayaan dan kemasyarakatan serta mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan para pendidik kedua-dua buah sekolah.

    Rombongan SR Unity bergambar-ramai dengan Jawatankuasa Tertinggi PGGMB serta Guru Besar STJ PGGMB Lambak. – Gambar serahan STJ PGGMB Lambak

    Rombongan telah diterangkan dengan pengajaran dalam pelbagai disiplin mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Melayu Islam Beraja (MIB).

    Setiap murid juga telah diaturkan untuk belajar bersama murid-murid dalam kelas mengikut mata pelajaran yang diajarkan di sekolah berkenaan.

    Sementara itu, guru-guru juga telah berikan penerangan mengenai dengan kemajuan serta pencapaian sekolah dan mengadakan perbincangan bersama Jawatankuasa Tertinggi PGGMB dan Guru Besar dan ketua-ketua mata pelajaran.

    Perbincangan antara ketua rombongan Sekolah Rendah Unity dengan Jawatankuasa Tertinggi PGGMB dan Guru Besar dan ketua-ketua mata pelajaran. – Gambar serahan STJ PGGMB Lambak
    Murid-murid Sekolah Rendah Unity berpeluang untuk memasuki dan menyertai sesi pembelajaran semasa lawatan ke STJ PGGMB Lambak. – Gambar serahan STJ PGGMB Lambak

    Lawatan Sekolah Rendah Unity ini merupakan satu penghargaan yang signifikan bagi Sekolah PGGMB.

    Rombongan juga berpeluang untuk menyaksikan persembahan koir sekolah dan kebudayaan etnik di Brunei yang dipersembahkan oleh murid-murid sekolah, selain murid sekolah berkenaan juga tidak ketinggalan mempersembahkan kebudayaan mereka kepada para murid sekolah berkenaan.

    Pada keseluruhan lawatan berkenaan, Sekolah Rendah Unity menzahirkan rasa puas hati atas layanan pihak sekolah dan sistem pendidikan di Sekolah STJ PGGMB Lambak serta persembahan yang diadakan sepanjang mereka berada di sekolah itu, jelas Puan Soh Lim Fun Yen serta menyatakan bahawa mereka berhasrat untuk datang ke sekolah berkenaan pada tahun hadapan.

    Beliau turut mengundang pihak STJ PGGMB Lambak untuk datang berkunjung ke Sekolah Rendah Unity.

    Persembahan kebudayaan dan koir yang menyerikan acara lawatan berkenaan. Gambar serahan STJ PGGMB Lambak
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda