Monday, January 27, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    STJ PGGMB Madang laksana persiapan awal hadapi PSR

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Bagi meningkatkan prestasi dan pencapaian akademik yang lebih berkesan, bengkel dan sesi motivasi bagi ibu bapa dan penjaga murid dan murid-murid telah diadakan di Sekolah Tunas Jaya (STJ) PGGMB, Madang kelmarin.

    Sesi motivasi yang merupakan langkah proaktif yang dirancang oleh Sekolah Tunas Jaya (STJ) PGGMB Madang bermatlamat untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran kepada ibu bapa / penjaga murid dan murid-murid Tahun 6 yang bakal menduduki peperiksaan pada hujung tahun nanti.

    Strategi awal seumpama itu, akan dapat membantu para ibu bapa dan penjaga murid untuk memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dan terus belajar ketika berada di rumah.

    Menurut Guru Besar STJ PGGMB Madang, Cikgu Ismail bin Haji Tia, sekolah berkenaan mempunyai yang sangat membanggakan dalam peperiksaan PSR pada 2024 lalu.

    Dalam hubungan itu, beberapa strategi dan langkah-langkah efektif sedang dilaksanakan bagi memastikan pencapaian akademik di sekolah itu terus menunjukkan prestasi yang lebih baik dari tahun ke tahun.

    Di samping itu, ibu bapa dan penjaga murid turut diberikan motivasi dan bengkel bagi meningkatkan tatacara kemahiran mendidik anak-anak mereka belajar di rumah, guru- guru juga dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran dan strategi mengajar yang lebih efektif dan menyeronokkan murid-murid di sekolah berkenaan.

    Murid-murid juga diberikan kelas tambahan bermula dari awal tahun iaitu dari hujung Januari hingga Jun, pada setiap Jumaat.

    Sesi motivasi dan bengkel yang dihadiri seramai 38 peserta daripada ibu bapa dan 19 murid berkenaan telah dikendalikan oleh Nurul Hazirah binti Haji Jahari dan Mohammad Fakri Fathullah bin Hj Affendi dari Universiti Brunei Darussalam dalam jurusan Kaunseling dengan ceramah motivasi bertajuk Bagaimana memahami dan menyantuni tingkah laku anak-anak dalam menghadapi pembelajaran mereka.

    Turut hadir pada sesi bengkel dan ceramah motivasi berkenaan ialah Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri, guru kanan dan guru-guru yang mengajar mata pelajaran Tahun 6 di sekolah berkenaan.

    Pada sesi berkenaan, beberapa orang ibu bapa/ penjaga murid merakam ucapan terima kasih atas pengkongsian ilmu berkenaan di mana ia merupakan perkara yang amat baik diadakan pada awal tahun dengan menyaksikan penglibatan para ibu bapa / penjaga murid.

    Dengan adanya sesi motivasi dan bengkel berkenaan, ia akan dapat meningkatkan keyakinan ibu bapa / penjaga murid bagi sama-sama memastikan anak-anak mereka belajar bersungguh-sungguh di rumah.

    Pada masa yang sama, para murid juga diharap akan terus bermotivasi, berusaha dan rajin meningkatkan prestasi pencapaian akademik mereka.

     Antara yang hadir semasa bengkel berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN STJ PGGMB MADANG

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda