Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Sebagai usaha berterusan untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif bagi warga sekolah terutama murid-murid sekolah, Sekolah Tunas Jaya (STJ) Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) Madang mengadakan Majlis Perasmian Penjenamaan Semula Bilik Perpustakaan yang berlangsung di sekolah berkenaan pada 9 Mac lalu.
Hadir untuk menyempurnakan perasmian penjenamaan semula bilik perpustakaan berkenaan ialah Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri.
Turut hadir ialah Guru Besar STJ PGGMB Madang, Awang Ismail bin Haji Jair @ Haji Tia; Timbalan Setiausaha Agung PGGMB, Haji Yahya bin Haji Mirasan dan guru-guru sekolah berkenaan.
Dalam ucapannya, Awang Ismail menyatakan penjenamaan semula perpustakaan berkenaan adalah untuk menarik para murid supaya berminat menggunakan perpustakaan setiap masa.
Di samping itu, tambahnya, ia juga memberikan keselesaan dan persekitaran yang kondusif bagi para murid.
Pada masa yang sama, penjenamaan semula perpustakaan berkenaan menyaksikan penambahan lagi buku-buku dan sumber sebagai bahan bacaan dan rujukan bagi para murid serta warga sekolah.
Sementara itu, Haji Mustapa ketika mengulas mengenai penjenamaan semula perpustakaan berkenaan menyatakan bahawa ia merupakan salah satu langkah yang amat positif dan dapat memberikan impak yang baik kepada para murid serta warga sekolah supaya dapat menggunakan perpustakaan dengan lebih selesa dan menarik.
“Perpustakaan sekolah juga merupakan sebagai sumber kepada para murid untuk mendapatkan bahan pembelajaran dan rujukan semasa,” tambahnya.
Oleh itu, Haji Mustapa menekankan supaya pihak sekolah perlu mengemaskinikan segala maklumat terkini dan buku-buku relevan bagi para murid dan warga sekolah.
