KUALA LUMPUR, 21 MEI – Pemain apit kiri Kuala Lumpur (KL) Thunder, Amirul Zazwan Amir sedia mengharungi saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2025 tanpa Mohammad Syahir Rosdi dan Mohamad Azlan Alias yang kini bersama Melaka Titans.
Dia berkata ketiadaan tekong dan perejam berstatus bintang itu memang dirasai namun ia sama sekali tidak mengganggu hasratnya kekal beraksi cemerlang sekali gus membantu KL Thunder mengharungi satu lagi musim gemilang.
Musim lepas, KL Thunder menyapu bersih lima gelaran bermula Grand Prix (GP) Selangor hingga GP Johor.
“Hampir lima hingga enam tahun kami bersama, jadi saya kena biasakan diri tanpa Syahir dan Azlan. Dalam masa sama, saya harap pemain lain boleh buktikan mereka juga bagus.
“Tanpa mereka (Syahir dan Azlan), pasukan ini masih kuat. Secara peribadi saya sudah bermain untuk KL sebelum mereka sertai pasukan ini,” kata pemain berusia 30 tahun itu pada majlis pelancaran STL 2025 baru-baru ini.
Saingan STL 2025 bakal bermula dari 28 Mei hingga 31 Ogos menyaksikan perubahan format dalam usaha menambah kehangatan saingan.
STL menambah jumlah GP kepada enam dengan Negeri Sembilan menjadi lokasi terbaharu. – Bernama
