Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Bagi menceriakan lagi anak-anak istimewa di negara ini sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di Bandar Seri Begawan telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa bersama Anak-anak Istimewa dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) di Dewan Serba guna, STM, kelmarin.
Majlis itu meraikan 34 orang anak istimewa lelaki dan 18 orang perempuan dari Pusat Ehsan.
Pada majlis itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah juga menyerahkan sumbangan Hari Raya kepada warga Pusat Ehsan yang hadir.
Turut menyampaikan sumbangan adalah wakil-wakil dari Syarikat Malaysia PCBL dan Petronas Malaysia.
Selain warga kerja STM dan ahli keluarga, majlis turut dihadiri oleh Pemegang Amanah Pendidikan Pusat Ehsan, Dato Paduka Dr Haji Omar bin Haji Khalid dan ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Ehsan, Audrey Choo Wah dan Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff.