GENEVA, 17 OKT – Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (WFP) berkata situasi makanan di Semenanjung Gaza yang dikepung telah bertambah teruk, dengan stok hanya cukup untuk empat atau lima hari di kedai.
WFP berkata stok semakin berkurangan di gudang di dalam kawasan Palestin, tetapi di kedai-kedai, keadaan adalah lebih teruk.
“Keadaan di Gaza semakin buruk dari semasa ke semasa, situasi kemanusiaan dan tentu keadaan jaminan makanan,” beritahu jurucakap Timur Tengah WFP, Abeer Etefa, kepada pemberita di PBB di Geneva, melalui pautan video dari Kaherah.
“Stok makanan penting hanya mencukupi untuk dua minggu sahaja dan itu pun di peringkat pemborong,” katanya, dengan gudang yang terletak di Bandar Gaza di utara wilayah itu dan kedai menghadapi kesukaran menambah bekalan semula.
“Di dalam kedai, stok semakin kehabisan dan tidak mencukupi beberapa hari lagi, mungkin tinggal empat atau lima hari stok makanan.”
Pejuang Hamas yang berpangkalan di Gaza merempuh sempadan Israel yang dikawal ketat pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang yang kebanyakannya orang awam.
Israel telah bertindak membalas dengan serangan udara ke atas Gaza yang dikawal pejuang Hamas dan dengan mengerahkan puluhan ribu tentera ke sempadan sebagai persediaan untuk serangan darat sepenuhnya.
Israel telah menuntut penduduk di utara Gaza berpindah ke selatan, dengan harapan untuk mengosongkan kawasan dari orang awam sebagai persediaan untuk serangan darat besar-besaran. – AFP


