Friday, September 20, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Stok vaksin kolera di seluruh Afrika berkurangan

    PARIS, 18 JUN – Kemunculan semula kolera di seluruh Afrika telah mendorong keperluan mendesak untuk mendapatkan lebih banyak dos vaksin, tetapi kekurangan stok telah menghalang usaha memerangi wabak penyakit yang semakin meningkat itu.

    Namun bekalan dos kini semakin berkurangan, kata Aurelia Nguyen, ketua pegawai program pakatan vaksin, Gavi, yang mengumpul dana untuk membekalkan vaksin ke negara membangun.

    Menjelang sidang kemuncak di Paris pada Khamis bertujuan meningkatkan pengeluaran vaksin di Afrika, Nguyen memberitahu AFP tentang keadaan semasa.

    Selama bertahun-tahun, permintaan untuk vaksin kolera agak rendah. Daripada dua juta pada 2013, bekalan dos meningkat kepada 38 juta pada 2023. Berdasarkan konteks semasa, tindak balas terhadap wabak itu mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menggunakan satu dos, bukannya dua dos seperti yang biasa diamalkan.

    Disebabkan jumlah wabak kolera yang sedang berlaku pada masa ini, bekalan vaksin berada di bawah tekanan pada awal tahun. Namun tekanan kini semakin berkurangan dan kami sekali lagi berada dalam kedudukan untuk segera bertindak balas terhadap permintaan baharu.

    Syarikat biofarmaseutikal Korea Selatan EuBiologics, satu-satunya pembekal vaksin kolera yang diberikan menerusi mulut, akan meningkatkan pengeluarannya sebanyak 30 peratus pada tahun ini dan seterusnya.

    Peningkatan itu dapat dilakukan terutamanya disebabkan pembelian Gavi selama beberapa tahun.

    Oleh itu Gavi menjangkakan menerima 50 juta dos pada 2024 dan sekitar 65 juta pada 2025.

    Disebabkan penting untuk mempelbagaikan pembekal dan meningkatkan jumlah, Gavi bekerjasama dengan pengeluar kedua, syarikat Bharat di India. Firma itu akan membekalkan lebih banyak dos pada 2025, begitu juga dengan pengeluar di Afrika pada masa hadapan.

    Kolera adalah sebahagian daripada inisiatif selama 10 tahun dengan peruntukan AS$1 bilion yang bertujuan menyokong pengeluaran vaksin di Afrika. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda