Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Stoking tampil elemen Malaysia dan seni batik

    PUTRAJAYA – Tampil dengan idea berbeza, usahawan muda Ahmad Afiz Danial Mohd Khairuddin memperkenalkan stoking bercorak atau art socks yang bertemakan batik dan elemen tempatan diberi nama Talesocks.

    Anak muda kelahiran Negeri Sembilan itu berhasrat menjadikan stoking bertemakan batik sebagai cenderamata kenangan yang boleh dibeli oleh mereka yang berkunjung ke negara ini sama ada atas tiket melancong atau perniagaan.

    Berkongsi cerita dengan Bernama, Ahmad Afiz Danial berkata beliau nekad meninggalkan kerjaya sebagai ahli pelaburan di syarikat yang menguruskan dana persaraan selepas melihat perniagaan stoking berpotensi untuk dikembangkan di negara ini.

    “Balik dari belajar di luar negara, saya mula bekerja dan saya kerap kali ditanya pelanggan dan rakan sekerja berkenaan stoking yang saya pakai. Mereka tertarik dengan stoking saya yang bercorak serta bertanyakan di mana saya membelinya.

    “Saya terfikir, ramai orang tanya tapi di Malaysia tak banyak pilihan stoking bercorak kerana kebanyakannya tanpa corak dan untuk sukan. 

    Produk dan corak yang dikeluarkan oleh usahawan muda, Ahmad Afiz Danial dengan idea berbeza memperkenalkan stoking bercorak. – Bernama
    Mahu mencipta kelainan, Ahmad Afiz Danial tampil dengan idea berbeza memperkenalkan stoking bercorak bertemakan batik dan elemen tempatan. – Bernama
    Ahmad Afiz Danial melayan pelanggan di kiosknya baru-baru ini. – Bernama
    Produk dan corak yang dikeluarkan oleh usahawan muda, Ahmad Afiz Danial Mohd Khairuddin dengan idea berbeza memperkenalkan stoking bercorak (art socks), Talesocks, bertemakan batik dan elemen tempatan. – Bernama

    “Sepanjang minat saya mengumpul stoking bercorak, saya tak jumpa lagi stoking yang bercorak elemen Malaysia seperti batik, manggis dan wau. Jadi, saya nampak itu peluang 
    untuk kita mempamerkan apa yang ada di Malaysia kepada orang luar,” katanya.

    Bermodalkan RM25,000 daripada simpanan peribadi, Ahmad Afiz Danial berkata beliau dibantu ahli keluarganya memulakan perniagaan menjual stoking bercorak secara dalam talian pada 2019, sebelum dikembangkan kepada kios fizikal di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

    Menurutnya, sehingga kini sebanyak 15 corak telah dipasarkan dalam kuantiti yang terhad dan mendapat sambutan hangat terutama daripada ekspatriat dan pelancong asing yang membelinya untuk dihadiahkan kepada keluarga dan kenalan mereka apabila pulang ke negara masing-masing.

    Menggunakan fabrik combed cotton, beliau berkata bahawa stoking yang dijual pada harga RM49 sepasang itu, dibuat di kilang di China dan Malaysia bagi memenuhi permintaan.

    “Dari segi keselesaan, Talesocks ni menggunakan combed cotton yang menjadikan stoking ini lebih tahan lasak, bila dipakai corak dan warna stoking kekal dan tak mudah lusuh apabila dibasuh.

    “Selain keselesaan, kami juga mementingkan ciri-ciri eksklusif iaitu setiap keluaran adalah terhad dan kalau habis satu keluaran stoking itu, kami keluarkan rekaan lain pula,” katanya sambil berkata combed cotton lebih lembut berbanding fabrik kapas biasa.

    Pada masa depan, beliau bercadang mengeluarkan stoking yang bersesuaian untuk beriadah dan membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen 
    Talesocks.

    “Kami juga ada perancangan untuk mengeksport produk ini ke Brunei, Indonesia dan Timur Tengah,” katanya menambah pada masa ini produknya telah menembusi pasaran Singapura. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...