LONDON, 29 MAC – Pemain pertahanan England, John Stones terlepas aksi persahabatan antarabangsa menentang Ivory Coast selepas terpaksa meninggalkan skuad The Three Lions akibat masalah kecederaan.
Stones sepatutnya diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menang 2-1 ke atas Switzerland pada Sabtu lalu, namun pemain pertahanan tengah Manchester City itu mengalami kecederaan ketika sesi memanaskan badan di Stadium Wembley.
Pengendali England, Gareth Southgate berkata Stones mengadu `berasa sedikit sesak’ sebelum perlawanan dan Persatuan Bolasepak England (FA England) semalam mengambil keputusan tidak menyenaraikannya menentang Ivory Coast di Wembley.
“John Stones sudah meninggalkan kem England dan kembali ke Manchester City,” kata kenyataan FA England.
“Selepas menarik diri daripada senarai kesebelasan utama ketika menang 2-1 ke atas Switzerland di Wembley pada Sabtu lalu, perkembangan pemain pertahanan itu terus dipantau.
“Dan selepas sesi latihan di pusat latihan Tottenham Hotspur, keputusan diambil untuk tidak menurunkan Stones pada aksi menentang Ivory Coast pada Selasa dan dia akan kembali ke kelab sebagai langkah berjaga-jaga.”
Stones adalah pemain ketujuh yang menarik diri daripada skuad England bagi aksi persahabatan ketika ini.
Trent Alexander-Arnold, Reece James, Tammy Abraham dan Aaron Ramsdale menarik diri kerana masalah kecederaan manakala pengganti Ramsdale iaitu Sam Johnstone dan Bukayo Saka pula turut tersisih akibat positif COVID. – AFP
