Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 30 JULAI – Daripada 18 pasukan yang bertanding, Pasukan Sepak Takraw Panaga (STP) C muncul juara selepas menewaskan Pasukan Labi A dalam Kejohanan Sepak Takraw yang berlangsung selama tiga hari dari 25 hingga 27 Julai di Dewan Utama Kompleks Sukan Mumong, Kuala Belait.
Dianjurkan oleh Komuniti Sukan Mukim dan Kampung Daerah Belait bagi tahun 2025, kejohanan ini diadakan bersempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79.
Pasukan bertanding menggunakan Format Dua Kali Kalah (Double Knockout), dengan pasukan terbaik mara ke peringkat separuh akhir yang diadakan pada 27 Julai.
STP C mencatat rentetan kemenangan dalam pusingan utama (upper bracket), yang membawa mereka ke perlawanan akhir selepas menewaskan Labi A dalam separuh akhir.
Namun, Labi A tidak berputus asa dan berjaya meneruskan saingan dengan kemenangan penting ke atas Pasukan Sungai Teraban A dalam pusingan kalah (lower bracket) untuk menempah perlawanan ulangan menentang STP C di peringkat akhir. Pasukan Sungai Teraban A pula menduduki tempat ketiga keseluruhan.
Dalam perlawanan akhir, STP C terus menunjukkan penguasaan mereka dan berjaya meraih kemenangan bergaya ke atas Labi A dengan keputusan 2-0.
Penghulu Mukim Kuala Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin hadir selaku tetamu kehormat untuk menyaksikan perlawanan akhir serta menyampaikan hadiah dan pingat kepada para pemenang tiga teratas pada akhir kejohanan.

