Sunday, June 30, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Strain bakteria kebal antibiotik ‘membimbangkan’ di Afrika

    GENEVA, 21 JUN – Jangkitan bakteria sedang memberikan kesan yang tidak seimbang di Sahara Afrika di mana terdapat strain bakteria yang kebal antibiotik yang ‘sangat membimbangkan’ dalam kalangan kanak-kanak, menurut dua kajian yang dikeluarkan, kelmarin.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan ketahanan antimikrob, yang berlaku apabila bakteria menjadi kebal terhadap antibiotik, sebagai krisis kesihatan global.

    Analisis yang dijalankan oleh Hospital Universiti Geneva (HUG) dan Universiti Geneva (UNIGE) mendapati bahawa keadaan di Afrika Sahara amat ‘membimbangkan’.

    “Kami mendapati sebahagian besar bakteria tahan antibiotik, khususnya yang terdapat dalam darah pesakit muda,” jelas Noemie Wagner, di unit jangkitan pediatrik HUG.

    Kedua-dua analisis menumpukan pada Enterobacteria, yang terdapat dalam saluran pencernaan dan dikenali kerana keupayaannya untuk meningkatkan ketahanan terhadap antibiotik.

    Gambar Freepik

    Mereka bertanggungjawab atas jangkitan paling invasif pada anak damit baru lahir di rantau ini, kata penyelidik.

    Analisis pertama menilai bakteria kebal antibiotik yang terdapat dalam darah kanak-kanak kecil di rantau itu semasa jangkitan.

    Hasilnya menunjukkan ‘tahap ketahanan yang sangat tinggi terhadap antibiotik barisan pertama dan kedua yang disyorkan untuk merawat sepsis kanak-kanak”, kata para penyelidik dalam satu kenyataan.

    Strain yang paling biasa dikenalpasti ialah E.coli dan Klebsiella spp, yang menunjukkan ketahanan yang besar terhadap antibiotik barisan pertama yang disyorkan untuk sepsis ampisilin dan gentamicin.

    Ia membimbangkan pakar kerana pada dasarnya semua kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital di Sahara Afrika dirawat dengan antibiotik secara sistematik.

    “Oleh kerana jangkitan bakteria adalah punca utama kematian di rantau ini, kanak-kanak sering dirawat dengan antibiotik apabila mereka dimasukkan ke hospital, walaupun tiada alasan yang kukuh untuk jangkitan bakteria,” kata Wagner.

    Malah, kebanyakan kemudahan perubatan tidak mempunyai akses kepada ujian yang diperlukan untuk membezakan jangkitan bakteria, yang memerlukan antibiotik, daripada jangkitan virus, yang tidak memerlukannya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...