Friday, March 14, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Strain H591 selesema burung dikesan di AS

    PARIS, 29 JAN – Strain baharu wabak selesema burung telah dikesan di sebuah ladang itik di California, kali pertama varian tersebut ditemui di ternakan Amerika Syarikat (AS), menurut agensi antarabangsa.

    Laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH), yang dilihat oleh AFP kelmarin, mengatakan ‘selesema burung yang sangat patogenik (HPAI) H5N9’ telah dikesan di sebuah ladang itik komersial di Merced County, California.

    “Ini adalah kes pertama yang disahkan bagi HPAI H5N9 dalam ternakan di AS,” kata WOAH yang berpangkalan di Paris, yang memantau penyakit haiwan di seluruh dunia.

    Menurut laporan itu, wabak tersebut, yang asal usulnya tidak diketahui, telah disahkan pada 13 Januari dan semua 119,000 ternakan di ladang tersebut telah dimusnahkan.

    Strain H5N1 selesema burung yang sudah meluas dalam kalangan haiwan di AS juga dilaporkan terdapat di ladang tersebut.

    Pegawai kesihatan haiwan AS sedang menjalankan ‘penyiasatan epidemiologi menyeluruh’ dan meningkatkan pemantauan sebagai tindak balas kepada wabak tersebut, kata WOAH.

    Kemunculan strain baharu selesema burung di AS berlaku pada masa yang kritikal ketika Presiden Donald Trump telah memutuskan untuk menarik negara itu keluar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    AS adalah penderma terbesar kepada agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang menyelaraskan respons global terhadap kecemasan kesihatan.

    Pakar kesihatan telah memberi amaran mengenai potensi ancaman pandemik kepada manusia yang ditimbulkan oleh selesema burung, yang menunjukkan tanda-tanda mutasi apabila ia merebak dari lembu dan menjangkiti manusia di AS.

    Mereka telah berbulan-bulan mendesak pihak berkuasa AS untuk meningkatkan pemantauan dan berkongsi lebih banyak maklumat mengenai wabak selesema burung itu.

    Jika AS dan WHO tidak lagi bekerjasama dan berkongsi data penting, mengesan penyebaran virus di peringkat antarabangsa akan menjadi lebih sukar.

    Pengunduran AS itu adalah “kebimbangan untuk kesihatan global,” kata WHO minggu lalu. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda