Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Strain H5N1 selesema burung dikesan dalam susu

    GENEVA, 22 APRIL – Strain virus selesema burung H5N1 dalam kepekatan yang sangat tinggi dikesan dalam susu mentah haiwan yang dijangkiti, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam.

    Bagaimanapun tidak diketahui tempoh virus itu boleh bertahan dalam susu.

    Selesema burung A (H5N1) pertama kali dikesan pada 1996 namun sejak 2020, bilangan wabak dalam unggas meningkat dengan pesat, di samping peningkatan bilangan mamalia yang dijangkiti.

    Strain itu menyebabkan kematian berpuluh juta ternakan dengan burung liar dan mamalia darat dan laut turut dijangkiti.

    Lembu dan kambing turut termasuk dalam senarai bulan lalu, sekali gus menyaksikan perkembangan mengejutkan dalam kalangan pakar berikutan haiwan ternakan itu tidak dianggap terdedah kepada jenis influenza berkenaan.

    Gambar fail bertarikh 11 Mac 2009 menunjukkan barisan lembu tenusu Holstein di ladang tenusu di Idaho. WHO berkata strain virus selesema burung H5N1 dalam kepekatan yang sangat tinggi dikesan dalam susu mentah haiwan yang dijangkiti. – AP

    “Peralihan jangkitan daripada burung ke lembu, lembu ke lembu dan lembu ke burung juga direkodkan ketika wabak semasa ini, yang menunjukkan virus itu mungkin menemui peralihan baharu berbanding sebelum ini,” kata Ketua Program Influenza Global di WHO, Wenqing Zhang, pada taklimat media di Geneva.

    “Virus itu juga dikesan dalam susu daripada haiwan yang dijangkiti,” katanya yang menyatakan terdapat ‘kepekatan virus yang sangat tinggi dalam susu mentah’.

    Namun katanya, pakar masih menyiasat dengan tepat berapa lama virus itu dapat bertahan dalam susu.

    Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Texas berkata jangkitan lembu tidak menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan susu komersial dengan sumber tenusu itu daripada lembu dijangkiti dimusnahkan, selain pasteurisasi juga membunuh virus.

    “Justeru orang ramai diingatkan supaya memastikan amalan makanan selamat, termasuk hanya mengambil susu pasteur dan produk susu,” kata Zhang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda