Tuesday, September 24, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Strategi atasi jurang pembangunan, tingkat pertumbuhan mampan

    JAKARTA, 23 SEPT – ASEAN kini sedang merangka ‘Strategi Dirangka Semula untuk Mengecilkan Jurang Pembangunan dan Menggalakkan Pertumbuhan Ekonomi Mampan serta Inklusif di Rantau Ini’ di bawah pimpinan Laos selaku pengerusi blok itu tahun ini.

    Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn berkata strategi itu dijangka menjadi ‘pengubah keadaan’ dan penting untuk menangani jurang pembangunan dalam kalangan negara anggota ASEAN.

    Beliau berkata strategi itu juga akan membantu bertindak balas terhadap cabaran serantau dan global, memastikan pertumbuhan ASEAN kekal inklusif, mampan dan berdaya tahan.

    “Saya benar-benar mengucapkan tahniah kepada Laos kerana membangkitkan isu ini dan memberikan perhatian yang sewajarnya, memandangkan kita masih mempunyai ‘poket kemiskinan’ di rantau ini,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-56 dan Mesyuarat Berkaitan di Vientiane kelmarin.

    Kenyataan itu disiarkan di laman sesawang ASEAN.

    Kao menegaskan ‘adalah penting untuk memberikan perhatian dan mengutamakan isu ini’ selepas Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-56 dan mesyuarat berkaitan.

    Dengan tarikh akhir Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi Asean pada 2025 semakin hampir, Kao menjelaskan bahawa ASEAN sedang membangunkan Visi Komuniti ASEAN 2045, menandakan kali pertama organisasi itu merancang visi 20 tahun.

    Semasa mesyuarat itu, para menteri membincangkan visi pasca-2025 untuk komuniti ASEAN yang berdaya tahan dan inovatif serta mengadakan perundingan yang meluas dengan pihak berkepentingan, termasuk perniagaan, ahli akademik dan ahli parlimen untuk memastikan keterangkuman. – Bernama

    Gambar daripada Sekretariat ASEAN menunjukkan Kao semasa mesyuarat tersebut, baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda