BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Persekutuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB) telah menganjurkan Bual Bicara Ekonomi Melayu (BBEM) bertemakan Membina Daya Tahan: Cabaran Dalam Perniagaan bagi membincangkan strategi memperkukuh perniagaan, selaras dengan Pelan Strategik PPPMB untuk memperkasakan usahawan Melayu dan merangsang kemajuan ekonomi.
Acara yang diadakan di Auditorium Utama, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden PPPMB, Dr Haji Abdul Latif bin Haji Chuchu, diikuti gambaran sesi keseluruhan oleh Timbalan Presiden Perdagangan PPPMB, Haji Suni bin Haji Sulaiman.
Antara tajuk yang dikongsi semasa sesi pembentangan panel termasuk Perjalanan Seorang Usahawan yang disampaikan oleh Dr Haji Mohd Rozan bin Dato Haji Mohd Yunos; Hajjah Zainab M. A. Omar membincangkan Daya Tahan Organisasi Melalui Prinsip HR Strategik dan Dr Amnisuhaillah binti Abarahan menyampaikan Daya Tahan Perniagaan Melalui Kanta Prinsip Islam.
Sesi pembentangan tersebut disusuli dengan perbincangan panel moderator dan sesi soal jawab interaktif, dikendalikan oleh Timbalan Presiden Ekonomi, Awang Mohd Rizan bin Abdul Latif.
Forum dihadiri wakil-wakil dari LKEB, Shell Livewire Brunei, Dewan Perniagaan Bangladesh Brunei Darussalam (BCCBD), Dewan Perniagaan dan Industri Sabah (DPIS), Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Brunei (STATOB) dan Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB).
Dalam ucapan penutup, Awang Mohd Rizan merumuskan input penting dan menegaskan komitmen PPPMB untuk terus menyokong pembangunan kapasiti ahli, selaras dengan matlamat pelan strategik.
PPPMB berharap forum itu akan memberi inspirasi dan strategi praktikal kepada usahawan Melayu untuk membina perniagaan yang lebih berdaya tahan.