Oleh Norul Akma Mohd Zain
BALIK PULAU, 29 Mac – Ketika memperkenalkan ‘nasi sekupang’ pada Disember 2018, Ibrahim Abdul Rahim merasakan tindakannya itu sebagai strategi ‘gila’.
Kini peniaga berusia 37 tahun itu bersyukur kerana strategi yang dianggapnya sebagai ‘gila’ itu membuahkan hasil. Menjelaskan lanjut beliau berkata, idea menjual nasi sekupang tercetus kerana ingin membantu meringankan beban perbelanjaan harian para pelanggannya dengan menawarkan hidangan mampu bayar.
“Ini kerana, saya selalu perasan kebanyakan pelanggan hanya mengambil sosej, telur dan beberapa hidangan kecil untuk dijadikan lauk utama bagi sepinggan nasi.
“Mereka macam ‘takut-takut’ nak ambil lauk seperti ayam, ikan, daging dan sebagainya, mungkin beranggapan harga hidangan itu mahal,” kata Ibrahim, pemilik Baen Cafe The Power of Sedekah dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini. Kedai makannya itu terletak bersebelahan Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Jalan Pondok Upeh, Balik Pulau.
Strategi tarik pelanggan
Menyedari keadaan itu, Ibrahim ligat memikirkan pelbagai cara untuk menarik lebih ramai pelanggan selain memastikan mereka berpuas hati kerana dapat menikmati hidangan yang diinginkan tanpa perlu membayar mahal.


Setelah berbincang dengan isterinya, Nurul Ain Mustafa, 33, beliau mengambil keputusan untuk membuat tiga jenis nasi, iaitu nasi beriani, nasi tomato dan nasi hujan panas, masing-masing dijual dengan harga 10 sen sepinggan.
Mereka menyediakan 40 jenis lauk-pauk yang dijual murah berbanding harga pasaran.
“Tidak sangka, nasi sekupang mendapat sambutan menggalakkan sejak hari pertama diperkenalkan, lebih-lebih lagi setelah diviralkan pelanggan,” katanya yang berniaga dengan hanya berbekalkan pengalaman membantu arwah bapanya selepas tamat pengajian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kira-kira 20 tahun lalu sebelum diamanahkan mengambil alih perniagaan nasi campur itu lima tahun kemudian.
Harga bagi nasi beriani ‘sekupang’ serta lauk pauk seperti ayam seketul, acar sayur dan lauk sampingan lain di Cafe Baen agak murah jika dibandingkan dengan harga nasi beriani di pasaran kini.
“Kalau di kedai biasa harga nasi beriani selalunya adalah antara RM7 hingga RM8 untuk satu set, namun di sini pelanggan boleh menikmatinya dengan harga RM4.70 sepinggan termasuk minuman bergula seperti teh O, sirap, anggur atau oren yang berharga RM0.10 secawan.
“Saya mengambil pendekatan, jika kita permudahkan urusan orang, Allah akan permudahkan urusan kita. Malah, kini pun sudah terbukti. Alhamdulillah,” tambah beliau.
‘Genggam bagi tiris’
Ibrahim berkata, isu utama baginya bukanlah untuk mengekalkan margin keuntungan serta menampung kos pengeluaran, sebaliknya kepuasan pelanggan adalah keutamaan.
“Memang ada orang cakap bahawa apa yang saya buat ini sangat berisiko dan boleh menjejaskan perniagaan, namun saya anggap kata-kata mereka sebagai cabaran, kerana idea ‘gila’ ini juga lahir ketika saya menghadapi cabaran dalam perniagaan .
“Yang paling utama bagi saya adalah niat hendaklah betul. Jika selalunya orang cakap ‘air digenggam tidak tiris’, namun saya memegang konsep sebaliknya iaitu apabila genggam air biarlah tiris sedikit, sebab saya percaya rezeki yang Allah beri ada juga bahagiannya untuk orang lain,” tambah beliau.
Mengakui pernah menjual kenderaannya ekoran terpaksa membayar denda yang dikenakan pihak berkuasa kerana mengambil pekerja asing tanpa izin tiga tahun lalu, Ibrahim bersyukur kerana katanya: “Jika tidak diuji begitu, mungkin saya tidak akan berada di sini (tahap perniagaan) sekarang.”
Mengakui perniagaannya semakin rancak, Ibrahim memberitahu bahawa, jika dahulu beliau hanya menggunakan antara 20 hingga 30 kilogram (kg) beras untuk jualan nasi campur setiap hari, namun setelah nasi ‘sekupang’nya tular, jumlah itu perlu digandakan bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Jangan salahkan ekonomi
Ibrahim berkata golongan peniaga tidak perlu menyalahkan keadaan ekonomi semata-mata kerana banyak cara boleh digunakan untuk menarik lebih ramai pelanggan umpamanya strategi harga runtuh, namun memerlukan perkiraan teliti selain perlu mengekalkan kualiti barangan yang dijual.
“Ini berdasarkan pengalaman sendiri di mana saya pernah menjadikan faktor ekonomi semasa sebagai penyebab perniagaan menjadi perlahan sebelum ini.
“Tapi, setelah strategi nasi sekupang berjaya, nyata sangkaan saya meleset sama sekali. Hakikatnya, saya berjaya mengambil kesempatan atas keadaan ekonomi sekarang untuk menarik lebih ramai pelanggan. Kadang-kadang benda macam ini boleh buat kita berjaya,” tambahnya.
Menurutnya lagi, berkat melancarkan nasi sekupang, beliau kini mampu menabung berbanding ketika berniaga sejak 15 tahun lalu, di mana beliau terlalu memikirkan pelbagai kos yang perlu ditanggung serta jumlah kerugian harian, tanpa memikirkan atau berusaha untuk menabung.
Harga ‘mesra’ pelajar
Temu bual dengan Ibrahim yang bermula pada waktu pagi selesai menjelang tengah hari ketika orang ramai mula memenuhi kedai makannya itu. Meluangkan sedikit masa di situ, didapati pelanggan yang terdiri daripada pelbagai bangsa tidak putus-putus mengunjungi kedai itu dan semua makanan ‘licin’ menjelang jam 2 petang.
Melihatkan keadaan sekeliling, penulis terfikir, apabila nasi dijual dengan harga sekupang (10 sen) – semestinya akan laris bermakna lebih ramai pelanggan sekali gus perniagaan semakin rancak, apatah lagi setelah tular di media sosial.
Seorang pelajar Kolej Vokasional Balik Pulau, Izzati Yasmin Asma Shami, 19, yang kerap mengunjungi Cafe Baen sejak kisah nasi sekupang tular berkata bukan sahaja harga makanan di situ ‘mesra’ pelajar, hidangannya juga sedap.
“Kebanyakan pelajar bukannya banyak duit, jadi nak beli makan perlu berjimat. Sebagai pelajar, semestinya saya rasa lega ada kedai ni,” katanya.
Pelajar INTI International College Bayan Lepas, Elvin Yong, 19, berpendapat konsep perniagaan yang diguna pakai Ibrahim ternyata dapat meringankan sedikit beban golongan kurang berkemampuan.
“Eloklah buat macam ini. Tambahan pula lauknya pelbagai, segar dan sedap,” katanya.
Sementara itu seorang pelanggan tetap Cafe Baen, Muhamad Haffiz Zainal Abidin, 37, yang juga kenalan rapat Ibrahim sejak di bangku sekolah berkata, “Saya rasa tindakan dia buat nasi sekupang ni, amat bijak sebab orang belum pernah buat lagi. Ini adalah sesuatu yang ‘rare’. Patut diteruskan,” katanya yang merupakan seorang pekerja swasta. – Bernama