Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Pendidikan
Penularan pandemik COVID-19 di negara ini memaksa pengajaran dan pembelajaran beralih ke dalam talian atau menggunakan teknologi terkini termasuk media sosial.
Ia memerlukan guru komited, berdedikasi serta peka dengan keperluan pelajar sambil memahami kelebihan dan kekurangan terdapat dalam sistem pengajaran dan pembelajaran tersebut, sekali gus memberi cabaran besar kepada guru.
Sehubungan itu, penulis berpeluang mendapatkan maklum balas daripada beberapa orang guru mengenainya.
Bagi Guru Bahasa Melayu Peringkat ‘A’, Hajah Rashidah binti Mohd Alai yang mengajar Enam Atas di Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, pengajaran dan pembelajaran secara atas talian baginya, merupakan suatu perkara yang agak biasa kerana para pelajar telah pun terdedah dengan perkara itu sebelum ini.
“Saya lebih suka menggunakan aplikasi Mircrosoft Teams yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam. Walaupun pembelajaran cuma atas talian, tidak bermakna pelajar hanya berperanan sebagai pendengar sahaja.”
Beliau menjelaskan, “Saya sentiasa memastikan semua pelajar terlibat aktif dalam sesi soal-jawab sama ada secara bertulis atau pun lisan.”
Selain daripada itu, aktiviti berkumpulan atau belajar secara berkolaborasi seperti yang selalu diadakan dalam bilik darjah turut dipraktikkan.
“Dengan strategi-strategi demikian, saya dapat memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.”
Sementara itu, guru mata pelajaran Biologi, Dayang Nurun Nazihah binti Mohammad Yasmin yang mengajar Tahun 9 dan Tahun 11 di Sekolah Menengah Perdana Wazir, Kuala Belait berkata disebabkan pandemik COVID-19 pada masa ini, pengajaran dan pembelajaran adalah agak berbeza dari tahun-tahun sebelumnya kerana semuanya berpandukan secara dalam talian dengan memanfaatkan Internet.
“Sebagai seorang cikgu, pertama sekali saya juga harus menerima dengan fikiran yang terbuka akan perubahan dan pelbagai benda yang baharu seperti belajar menggunakan aplikasi-aplikasi baharu yang boleh diguna pakai untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran.”
Beliau turut mengulas mengenai usaha yang dilaksanakannya dalam memberikan pendidikan yang efektif kepada pelajar di mana menurutnya sebagai seorang guru, harus mengenali pelajar-pelajarnya secara individu iaitu kelebihan dan kekurangan masing-masing.
“Kemudian dari situ, saya memikirkan cara dan taktik yang bersesuaian semasa proses pengajaran dan pembelajaran.” Tambahnya, “Dalam pada masa yang sama, saya juga sentiasa mendedahkan para pelajar dengan isu-isu atau realiti dunia dan mengaitkannya dengan isi kandungan pelajaran supaya pembelajaran lebih menarik dan mudah difahami oleh pelajar.”
Sudah tentu terdapat beberapa cabaran yang dihadapi semasa pandemik COVID-19 yang melanda dunia, namun sebagai seorang guru, perlunya untuk sentiasa mempelbagaikan strategi pengajaran dan pengguna aplikasi dalam talian untuk memastikan murid tetap berminat serta fokus mengikuti sesi pengajaran, jelas Guru Mata Pelajaran Bahasa Inggeris, Dayang Nur Hanisah binti Muhd Hanafi yang mengajar Tahun 4 dan Tahun 6 di Sekolah Rendah Muda Hashim, Tutong.
“Selain memberikan kerja bertulis, untuk memastikan kemahiran menulis tidak terjejas, murid-murid juga diberikan soalan-soalan secara dalam talian. Saya juga menyediakan insentif berupa kad prabayar, kepada murid yang aktif dalam memberikan yang terbaik ketika sesi pembelajaran bagi menaikkan semangat dan keinginan bersaing di kalangan pelajar.”
Dalam memastikan pendidikan yang berkualiti dapat disampaikan kepada pelajar dengan baik, Hajah Rashidah berkata ia semestinya memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak iaitu guru, ibu bapa dan pihak sekolah.
Guru itu sendiri perlu memastikan tanggungjawab dan peranan sebagai pendidik, pembimbing dan sebagainya dapat dilaksanakan sebaiknya di mana selain mengaplikasikan pembelajaran berpusatkan pelajar, guru juga perlu mendedahkan para pelajar dengan kemahiran-kemahiran abad ke-21 seperti kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, komunikasi, kolaborasi dan kreativiti.
Beliau menambah bahawa sistem pendidikan di negara ini lebih berorientasikan pembelajaran sepanjang hayat dan bersifat holistik bagi mempersiapkan para pelajar dengan pelbagai kemahiran di alam pekerjaan nanti.
Bagi meningkatkan tahap kualiti pengajaran, Kementerian Pendidikan telah pun memperkenalkan BTS TPA2.O sebagai kayu ukur kompetensi para guru yang merangkumi pelbagai strategi dan perlu diaplikasikan semasa proses pengajaran dan pembelajaran di mana ia semata-matanya bertujuan untuk menjamin proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan dan berkualiti.
Proses pengajaran dan pembelajaran yang seimbang tanpa mengabaikan pelajar-pelajar yang berpencapaian rendah juga merupakan elemen yang sangat penting bagi memastikan para pelajar menerima pembelajaran yang efektif.
Dengan melaksanakan kelas intervensi atau program pengayaan pengetahuan pelajar sudah pasti dapat membantu para pelajar berjaya. Di samping itu, guru hendaklah sentiasa memberikan scaffolding atau sokongan di dalam kelas khususnya kepada para pelajar yang berpencapaian rendah agar mereka dapat memahami perkara yang dipelajari.
Selain guru memainkan peranan yang sangat penting, ibu bapa juga perlu be-kerjasama memastikan anak-anak mereka dapat menerima pembelajaran yang berkualiti. “Contohnya, ibu bapa perlu memastikan anak-anak sentiasa mengikuti pembelajaran dalam talian, memastikan anak-anak menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh para guru dan sentiasa berkomunikasi dengan guru berkaitan pembelajaran anak-anak,” jelasnya.
Pihak sekolah juga bertanggungjawab dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat dicapai dengan memberikan sokongan pelbagai kemahiran kepada para guru khususnya yang berkaitan dengan kemahiran profesional pedagogi.
Pemantauan terhadap perkara itu juga perlu dilaksanakan bagi memastikan para guru dapat merealisasikannya di dalam bilik darjah.
Dengan norma baharu dalam landskap pendidikan, ia setentunya memberikan pelbagai cabaran kepada guru dan juga pelajaran dalam pembelajaran serta pengajaran tetapi ia juga membuka peluang-peluang bagi meningkatkan kualiti pendidikan dengan memanfaatkan teknologi terkini.
Ia juga menyediakan peluang kepada guru-guru serta para pelajar untuk meningkatkan kemahiran abad ke-21 masing-masing dalam bidang teknologi maklumat, komunikasi serta kreativiti.
Semua itu, tidak dinafikan akan membantu untuk mencapai, Pendidikan Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar dan Wawasan Brunei 2035.