BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Bank Baiduri, dengan kerjasama Persekutuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB), baru-baru ini menganjurkan Baiduri Power Lunch 2025, satu perbincangan panel bertema Melindungi Perniagaan Brunei – Strategi Praktikal untuk Penipuan & Daya Tahan Keselamatan Siber yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri.
Acara itu telah mengumpulkan ahli komuniti perniagaan Brunei untuk meneroka strategi praktikal bagi menangani ancaman penipuan dan jenayah siber yang semakin meningkat.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, sesi itu menampilkan perbincangan panel yang dikendalikan oleh Pengarah Urusan, Confer Sdn Bhd, Allen Lai, dengan pembentangan daripada Ketua Pembangunan IT di Bank Baiduri, Dayang Izzati Mohd Noor; Setiausaha Ekonomi PPPMB, Pengiran Subandi @ Muhammad Abdul Fattah bin Pengiran Haji Kamis; bersama Ketua Pegawai Eksekutif Cybersafe Pte Ltd, Singapura, Dave Gurbani; dan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat, Keselamatan Siber Brunei (CSB), Awang Mohamad Azad Zaki Haji Mohd Tahir.
Bersama-sama, panel tersebut berkongsi strategi praktikal untuk membantu perniagaan melindungi diri daripada penipuan dan penyelewengan, memperkukuh rangka kerja keselamatan siber dan meningkatkan kawalan dalaman dan kesedaran kakitangan untuk membina daya tahan keseluruhan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbendaharaan Kumpulan dan Perbankan Institusi di Bank Baiduri, Pengiran Azaleen Pengiran Dato Haji Mustapha berkata, “Majlis Power Lunch ini diadakan untuk menangani jurang kritikal dalam ekosistem perniagaan kami. PKS, yang membentuk tulang belakang ekonomi Brunei, sering kekurangan sumber dan kepakaran untuk melindungi daripada ancaman siber. Melalui sesi seperti ini, kami berhasrat untuk memberikan pandangan dan alat praktikal yang boleh diaplikasikan dengan segera oleh perniagaan, terutamanya PKS, untuk memperkukuh kedudukan keselamatan siber serta melindungi operasi mereka.”
Sementara itu, Timbalan Presiden Perdagangan, PPPMB, Haji Suni bin Haji Sulaiman menambah, “Dalam era di mana ancaman digital menjadi semakin canggih, perniagaan termasuk kami di Brunei, mesti mengutamakan perlindungan operasi, aset dan maklumat sensitif mereka. Sama ada awda menjalankan perusahaan tempatan kecil atau mengurus entiti korporat yang besar, risiko penipuan, penyelewengan dan pelanggaran keselamatan siber boleh membawa akibat yang meluas – dari segi kewangan dan reputasi.”



