KUALA LUMPUR, 9 MAC – Strategi pasangan beregu lelaki Malaysia, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, untuk menghasilkan pukulan sempurna mengundang padah apabila tersingkir di separuh akhir Masters Orleans 2025, semalam.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky berkata langkah pasangan bukan pilihan itu menyebabkan mereka terpaksa akur tunduk kepada pilihan utama, Liang Wei Keng-Wang Chang, 14-21, 13-21 pada kejohanan bertaraf Super 300 di Palais des Sports, Orleans.
“Dari pusingan pertama hingga ke suku akhir, saya berpuas hati dengan persembahan mereka, tetapi ketika lawan pasangan China (Wei Keng-Wang Chang) macam terlalu mahu main sempurna dalam semua pukulan.
“Mereka (Wan Arif-Roy King) selalu dipaksa dalam setiap pukulan mereka sehingga banyak buat kesilapan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Kekalahan itu memusnahkan impian mereka untuk memenangi gelaran Jelajah Dunia pertama, selepas sekadar naib juara Masters Sepanyol 2024 di Madrid.
Kekalahan itu juga merekodkan buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun Malaysia pulang tanpa sebarang gelaran juara di Masters Orleans. – Bernama
