Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Strategi vaksinasi negara tangani COVID-19

    Oleh Sim Y. H.

    Dalam usaha untuk menangani penularan pandemik COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan akan melaksanakan Strategi Vaksinasi Negara Brunei Darussalam apabila vaksin COVID-19 tiba di negara ini.

    Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah merangka Strategi Vaksinasi bagi rakyat dan penduduk yang bermastautin di Negara Brunei Darussalam di mana ia dirangka oleh Kementerian Kesihatan dengan melibatkan agensi-agensi yang relevan dengan kepakaran berdasarkan kesihatan untuk sama-sama menjayakan Program Vaksinasi COVID-19.

    Program vaksinasi COVID-19 yang bakal diperkenalkan di Negara Brunei Darussalam dapat melindungi diri dan orang di sekitar anda, terutama sekali bagi mereka yang berisiko tinggi dijangkiti penyakit teruk akibat COVID-19. Vaksin COVID-19 juga dapat membantu menghindari dari sakit teruk walaupun awda dijangkiti COVID-19.

    Vaksin akan tiba di Negara Brunei Darussalam secara berperingkat selama beberapa bulan. Rakyat dan penduduk yang bermastautin di Negara Brunei Darussalam akan diberikan vaksin COVID-19 secara percuma di empat buah pusat vaksinasi yang telah dikenal pasti iaitu Stadium Tertutup bagi Daerah Brunei dan Muara, Hospital Suri Seri Begawan bagi Daerah Belait, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Daerah Tutong dan Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam di Daerah Temburong.

    Sementara itu, strategi pembahagian vaksin COVID-19 terbahagi kepada tiga fasa dengan fasa pertama bagi petugas barisan hadapan, warga emas 60 tahun ke atas dan pelajar-pelajar yang akan menuntut di luar negara, fasa kedua untuk kakitangan pusat penjagaan kanak-kanak, orang dewasa yang berisiko tinggi dan guru-guru serta fasa ketiga adalah orang awam berusia 18 tahun ke atas.

    Seorang pekerja kesihatan menyediakan dos vaksin AstraZeneca/Oxford di pusat vaksinasi koronavirus di Stadium Wanda Metropolitan, di Madrid pada 24 Mac 2021. Negara Brunei Darussalam akan turut menginokulasi penduduknya tidak lama lagi. – AFP

    Vaksin COVID-19 adalah sejenis vaksin yang boleh mencegah daripada jangkitan virus COVID-19, atau dikenali juga sebagai SARS CoV-2 yang boleh menyebabkan penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19).

    SARS CoV-2 adalah sejenis koronavirus baharu yang boleh merebak daripada manusia ke manusia melalui cecair pernafasan yang dijangkiti menerusi sentuhan, batuk dan bersin. Dalam kebanyakan kes, ia merupakan penyakit ringan tetapi bagi sebilangan orang, ia boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius atau kematian.

    Vaksin berfungsi dengan melatih dan merangsang sistem daya tahan badan (iaitu sistem imuniti) untuk mengenali dan melawan virus dan bakteria yang tertentu dengan menghasilkan antibodi. Jika terdedah kepada jangkitan virus, tubuh badan sudah bersedia untuk memusnahkan virus tersebut dan oleh yang demikian dapat mencegah penyakit. Adalah penting untuk mengambil vaksin kerana vaksin yang efektif dapat memperkuatkan sistem daya tahan badan sekali gus dapat mengawal dan menghentikan penularan virus dan melindungi masyarakat kita. Tidak ada jalan pintas untuk menghindari daripada wabak itu dan hidup dalam keadaan norma baharu kecuali mengambil vaksin.

    Pada masa lalu, vaksin telah dihasilkan melalui beberapa langkah yang memakan masa bertahun-tahun. Memandangkan terdapat keperluan segera bagi vaksin COVID-19, pelaburan kewangan dan kerjasama saintifik mengubah bagaimana vaksin dihasilkan. Ujian klinikal dibuat untuk menilai vaksin sama ada ia berfungsi untuk mencegah COVID-19 dan selamat untuk digunakan. Ujian klinikal terbahagi kepada tiga bahagian, yang disebut fasa.

    Dalam fasa pertama, vaksin diberikan kepada sebilangan kecil individu, dalam fasa kedua, vaksin diberikan kepada ratusan individu dan dalam fasa ketiga, vaksin diberikan kepada ribuan individu. Reaksi kepada vaksin akan dapat dilihat dengan lebih jelas oleh para penyelidik sekiranya ujian klinikal melibatkan ramai peserta.

    Apabila ujian klinikal menunjukkan vaksin itu selamat, pihak berkuasa ubat-ubatan akan terus menilai data keselamatan, kualiti dan keberkesanan vaksin dengan lebih terperinci. Mereka juga memeriksa cara penghasilan vaksin di makmal.

    Pihak berkuasa ubat-ubatan adalah agensi bebas yang tidak mempunyai kaitan dengan penyelidik dan pengilang yang menghasilkan vaksin tersebut. Sekiranya pihak berkuasa ubat-ubatan mendapati bahawa vaksin tersebut selamat, berkualiti, berkesan dan diluluskan, pengilang boleh mula membekalkan dos vaksin kepada mereka yang memerlukan. Pihak berkuasa ubat-ubatan dan pengilang akan terus memantau keselamatan vaksin semasa orang ramai menerima vaksin tersebut.

    Terdapat beberapa vaksin yang telah dihasilkan dan dihadapkan kepada pihak berkuasa ubat-ubatan untuk mendapatkan kelulusan. WHO, UNICEF dan rakan dialognya komited untuk mempercepatkan penghasilan vaksin COVID-19 dan dalam masa yang sama mengekalkan piawaian tinggi terhadap keselamatan dan kualiti vaksin. Vaksin COVID-19 hanya akan tersedia untuk digunakan di Negara Brunei Darussalam setelah diluluskan oleh pihak berkuasa ubat-ubatan.

    Apabila vaksin ini dilancarkan, ia akan terus dipantau rapi, seperti vaksin-vaksin yang lain. Sebarang kesan sampingan selepas vaksinasi akan dikaji dan diambil tindakan teliti. Semakin ramai penduduk yang menerima vaksin, semakin hampir kita untuk mencapai imuniti kelompok. Ini dapat mencegah penularan virus tersebut dalam kalangan penduduk dan memastikan golongan yang berisiko tinggi yang tidak boleh menerima vaksin tersebut dapat dilindungi.

    Vaksin telah diluluskan untuk kegunaan individu berumur 18 tahun ke atas dan jika seseorang itu mengandung atau mempunyai sejarah alahan atau alergi serius terhadap sebarang ubat atau vaksin supaya memaklumkan doktor atau jururawat sebelum mereka diberikan vaksin.

    Ada beberapa faktor yang mempengaruhi keberkesanan vaksin, contohnya usia, masalah kesihatan atau pendedahan kepada penyakit sebelumnya. Ciri-ciri vaksin itu sendiri seperti komposisi, cara pemberian, proses atau teknologi yang digunakan untuk penghasilannya, adalah antara faktor yang menentukan keberkesanannya.

    Walaupun adanya vaksin sekarang, terdapat peratusan kecil individu yang tidak dilindungi setelah divaksinasi, sementara bagi yang lain, perlindungan mungkin akan berkurangan dari semasa ke semasa. Beberapa vaksin memerlukan ‘booster’ untuk memberikan perlindungan yang cukup terhadap penyakit berkenaan.

    Selagi virus masih menular, semua negara masih berisiko dan walaupun dengan vaksin yang berkesan, ia memerlukan masa sebelum perkadaran individu yang divaksin adalah mencukupi untuk mencapai imuniti kelompok. Ini bermaksud selepas vaksin diberikan, kita masih perlu meneruskan langkah-langkah pencegahan seperti penjarakan fizikal, memakai sungkup muka, kerap mencuci tangan dan mengamalkan etika bersin atau batuk yang betul.

    Pada masa ini, majoriti vaksin yang dihasilkan memerlukan dua dos, diberikan selang dua hingga 12 minggu bergantung pada jenis vaksin. Suntikan pertama adalah untuk membantu merangsang imuniti tubuh untuk mengenal virus tersebut, dan suntikan kedua untuk memperkuatkan sistem daya tahan badan di mana awda memerlukan kedua-duanya untuk mendapatkan perlindungan terbaik.

    Sebarang vaksin boleh menyebabkan kesan sampingan, termasuk vaksin COVID-19 dan kesan sampingan yang dilaporkan secara umumnya adalah gejala ringan dan berjangka masa pendek seperti sakit pada tempat penyuntikan, keletihan, sakit otot atau sendi, demam ringan dan sakit kepala.

    Awda boleh mengambil ubat penahan sakit, seperti paracetamol, jika awda memerlukannya. Sekiranya gejala bertambah teruk atau awda risau, sila dapatkan nasihat kesihatan dengan segera.

    Jika awda mengalami kesan sampingan seperti yang dinyatakan di atas ataupun risau mengenai masalah kesihatan yang awda fikirkan berkaitan dengan vaksin yang diterima, awda hendaklah mendapatkan nasihat kesihatan dengan segera atau hubungi Talian Nasihat Kesihatan 148. Awda dikehendaki untuk melaporkan kesan sampingan selepas tujuh hari menerima suntikan menerusi aplikasi BruHealth.

    Semasa perjumpaan dengan doktor ataupun jururawat, pastikan awda memaklumkan mengenai vaksinasi awda supaya mereka dapat membuat penilaian selanjutnya.

    Individu yang diberi vaksin masih boleh menjadi pembawa dan boleh menyebarkan virus atau jangkitan. Individu mesti terus mengambil langkah untuk melindungi diri dan orang lain. Ini termasuk mencuci tangan, memakai penutup mulut dan hidung dan mengamalkan penjarakan fizikal, serta mematuhi peraturan kebangsaan dan tempatan mengenai pengesanan kontak, kuarantin, dan langkah-langkah kesihatan awam yang lain.

    Masih terlalu awal untuk mengetahui jika vaksin COVID-19 akan memberikan perlindungan jangka panjang terhadap virus tersebut. Kita mesti terus menggunakan semua alat dan amalan pencegahan lain untuk memerangi COVID-19 yang masih berleluasa.

    Walaupun seseorang pernah dijangkiti COVID-19, mereka masih berisiko untuk dijangkiti buat kali kedua dan oleh itu, vaksin ini dapat membantu mengurangkan risiko awda daripada dijangkiti COVID-19 di mana jika dijangkiti lagi, vaksin ini boleh meringankan jangkitan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda