ADAKAH anda sedang mencari hadiah yang unik untuk kekasih anda? Mungkin anda akan mempertimbangkan strawberi Kotoka yang terpilih dari Jepun dan dibungkus sedia dalam kotak hadiah istimewa. Ia dikatakan sangat sedap dan ‘hanya’ berharga AS$22.
Pasar raya di Hong Kong iaitu City’super dikecam baru-baru ini kerana menjual ‘strawberi termahal di dunia’. Strawberi Kotoka yang dijual dengan harga 168 HK dolar (AS$22) satu kotak (di dalamnya hanya mengandungi sebiji strawberi) itu dikatakan telah dipilih dengan cermat untuk memastikan kualiti terbaik dan telah diimport dari Jepun.
Strawberi tersebut dibungkus secara individu dalam kotak kertas yang dilapisi plastik. Ia juga dilengkapi dengan sarang jerami dan ‘stokin’ Styrofoam untuk menunjukkan lagi keistimewaannya. Gambar ‘buah berjenama’ yang mahal itu tersebar luas di media sosial di Hong Kong dan tanah besar China dan ternyata ramai yang terkejut dengan paparan itu.
Pihak pasar raya yang mengiklankan pasar raya itu sebagai ‘kedai khusus bagi gaya hidup’ telah menjawab maklum balas negatif dengan mengatakan bahawa harga runcit produk-produknya tertakluk kepada beberapa faktor termasuk harga pembelian, kos pengangkutan, keadaan pasaran dan keistimewaan produk.
Wakil dari City’super menambah lagi bahawa pasar raya itu hanya cuba untuk menawarkan “lebih banyak pilihan segar kepada pelanggan Hong Kong”, dan strawberi Kotoka itu sebenarnya dijual sebagai hadiah Hari Kekasih. Lagipun, strawberi berharga AS$22 memang satu hadiah yang romantik.




“Hadiah bungkusan strawberi itu diimport dari Jepun dengan bungkusan asal untuk memeliharanya kerana ia mempunyai gred premium, ia sangat istimewa dan ia sangat rapuh,” kata satu kenyataan. “Strawberi dari Kotoka ini dianggap sebagai makanan yang jarang didapati dan ia dipilih dengan cermat – hanya yang berkualiti saja yang dipetik. Ia sebenarnya dijual sebagai hadiah Hari Kekasih.”
Ia ditanam di bandar Jepun, Nara berhampiran Osaka. Strawberi Kotoka ini dianggap buah yang jarang didapati dan terkenal dengan ‘keasidan dan kemanisannya yang baik’. Namun, bagi beribu-ribu orang yang terkejut dengan produk ini, kualiti-kualiti yang dinyatakan belum cukup untuk memberikannya sebab munasabah berkaitan harganya yang terlalu mahal.
“City’super terlampau mahal!! 168 HK dolar untuk sebiji strawberi!” tulis seorang pengadu.
“City’super perlu dimalukan..walaupun saya tidak membeli-belah di sana… harganya menipu pelanggan, termasuk juga bungkusannya,” komen seorang lagi.
Walau bagaimanapun, kontroversi seperti ini tidak akan timbul jika gambar-gambar ini diambil di Jepun. Budaya ‘buah berjenama’ masih lagi kuat di sana. Orang di sana sanggup membelanjakan beratus-ratus dolar hanya untuk buah epal yang jarang didapati. Mereka akan menghadiahkannya kepada orang yang mereka hormati. Namun sejujurnya, strawberi yang dijual secara individu belum pernah dilihat di sana. Strawberi yang jarang didapati pun dijual sekurang-kurangnya enam biji dalam satu set.