Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Pasukan Street United tidak menghadapi masalah untuk menangani cabaran pasukan Majlis Sukan Sekolah Sukan Brunei Darussalam (MS SSBD) dengan mencatatkan jaringan 7-0 pada persaingan Liga Premier Futsal Brunei (BPFL) yang berlangsung di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.
Kejayaan besar pasukan Street United, membantu mereka naik ke tangga ketiga untuk merapati jurang kedudukan pasukan Hars United dan PES yang berada di puncak dan tempat kedua liga.
“Kami sangat bersyukur dengan kemenangan menentang MS SSBD yang sudah tentu membantu mengembalikan momentum Street United setelah dikecewakan oleh pasukan Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei pada perlawanan yang lalu,” jelas Pengurus Street United, Zeki Bakar.
Pihak pengurusan berasa gembira menyaksikan para pemain kembali bersemangat dan berusaha lebih gigih sehingga berjaya mencipta kejaringan yang besar.
“Kami perlu meningkatkan prestasi ini sebagai bekalan pada perlawanan seterusnya yang dijangka lebih rumit dan mencabar,” jelas Zeki.
Pasukan Street United tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan jaringan apabila pemain lincah, Pudin Marji bijak membuka tirai jaringan pada minit ke-2 manakala Aleep Rahim juga bijak menambah jaringan kedua pada minit ke-4.
Sementara itu, Setiawan Dimas tidak menghampakan umpanan rakan untuk menyempurnakan jaringan pada minit ke-7.
Sentuhan menarik skuad Street United diteruskan di babak kedua sekalipun pasukan MS SSBD berusaha keras mengimbangi perlawanan tetapi jaringan Aleep Rahim pada minit ke-23 sekali lagi menambah beban pasukan MS SSBD yang ketinggalan 4-0.
Dua jaringan daripada Adi Zulhusni dan sentuhan menarik Aldy Omar pada minit akhir perlawanan melengkapkan keceriaan pasukan Street United untuk berada di tangga ketiga BPFL.