Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Pasukan Street United FC membuka tirai persaingan Brunei Premier Futsal League 2024/25 (BPFL) dengan penuh bergaya apabila membenam pasukan FC Phosphor dengan kemenangan 6-0 di Dewan Serbaguna Universiti Brunei Darussalam (UBD), kelmarin.
Sekalipun pasukan FC Phosphor memberikan saingan yang menarik di awal perlawanan, pemain pantas, Zulaezmi Suhady bijak menggunakan ruang terbuka untuk mencipta jaringan awal pasukan Street United FC pada minit ke-7 sebelum Pudin Marji menambah tekanan kepada pasukan lawan menerusi dua jaringan pada minit ke-14 dan ke-17.
Walaupun ketinggalan dalam babak pertama, FC Phosphor berusaha mengubah rentak perlawanan namun serangan skuad muda itu gagal membuat jaringan.
Sebaliknya, Street United kembali berpesta dengan jaringan Eddy Shahrol pada minit ke-23 dan Aldy Omar menambah derita pasukan lawan pada minit ke-31.
Ditambah lagi dengan ledakan kencang Setiawan Dimas pada minit ke-35 melengkapkan misi berjaya pasukan Street United dengan kemenangan muktamad 6-0.
“Pemain-pemain berjaya menggunakan setiap kesempatan untuk membolosi gawang lawan, selain bijak membaca gerakan lawan dan menutup ruang di bahagian pertahanan untuk menyukarkan penyerang pasukan FC Phosphor melakukan jaringan,” jelas ketua jurulatih Street United FC, Yus Yusof,
Katanya lagi, “kemenangan besar ini merupakan momentum yang sangat penting kepada pasukan Street United FC sebagai suntikan semangat untuk perlawanan seterusnya.”
Dalam masa yang sama, beliau menyarankan agar pemain-pemain tidak terlalu leka dengan pencapaian sulung itu, malah perlu berusaha lebih gigih lagi untuk memantapkan pasukan.
Sementara itu, Pengurus Kelab FC Phosphor, Awangku Mohd Abu Tahlib Pengiran Haji Idris, akur dan mengambil iktibar daripada kekalahan besar itu.
“Pemain-pemain telah berjaya melaksanakan arahan yang diberikan namun mereka gagal membuat penyudahan yang berkesan sekalipun mempunyai deretan peluang di depan gawang lawan.
“Kami akan memperbaiki kelemahan-kelemahan ini dan akan bangkit kembali pada perlawanan kedua nanti,” jelasnya lagi.
Antara aksi semasa perlawanan berkenaan.