Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Strok haba ragut 6 nyawa di Jepun

    TOKYO, 9 JULAI – Sekurang-kurangnya enam maut akibat strok haba di Tokyo, ketika Jepun dilanda gelombang panas dan musim hujan yang mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran kesihatan secara berterusan.

    Hujung minggu lalu, wilayah tengah Shizuoka mencatatkan suhu sehingga 40 darjah Celsius, iaitu melebihi suhu 35 darjah Celsius yang diklasifikasikan oleh pegawai cuaca sebagai ‘sangat panas’.

    Menurut pegawai agensi cuaca, cuaca panas ketika musim hujan di Jepun ‘agak jarang’ berlaku, sebahagiannya disebabkan oleh sistem tekanan tinggi Pasifik Selatan yang kuat.

    Suhu juga mencecah paras tertinggi hampir 40 darjah Celsius semalam di pos pemerhatian di Tokyo dan di wilayah selatan Wakayama, menurut media tempatan.

    Susulan itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran strok haba di kebanyakan negeri, menggesa penduduk mengelak daripada bersenam di luar dan menggunakan penghawa dingin.

    Arahan dikeluarkan selepas Tokyo mencatatkan enam kematian yang dikaitkan dengan strok haba pada Sabtu dan semalam apabila suhu mencecah 35 darjah Celsius pada tengah hari, menurut pejabat pemeriksaan perubatan bandar itu.

    “Tanpa penghawa dingin, amat sukar untuk saya bertahan,” beritahu penduduk Tokyo, Sumiko Yamamoto, 75, kepada AFP, sambil menambah dia merasakan ‘cuaca menjadi semakin panas’ sejak tahun lalu.

    “Menerusi nasihat yang disiarkan di televisyen, saya cuba untuk kekal terhidrasi sebaik mungkin. Kerana saya sudah tua, jadi saya harus berhati-hati supaya tidak pengsan,” katanya. – AFP

    Orang ramai menggunakan payung untuk berlindung daripada cuaca panas di tengah Tokyo kelmarin. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda