Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Strudel sepanjang 3km cipta rekod dunia baharu

    JASKOVO, CROATIA, 7 SEPT — Sebuah perkampungan kecil di Croatia kini tersenarai dalam Guinness World Records selepas penduduknya berjaya menghasilkan rangkaian strudel melebihi tiga kilometer.

    Menurut penganjur, penyediaan strudel ini menggunakan dua tan tepung dan tiga tan epal, menjadikannya rangkaian pastri manis terpanjang di dunia.

    “Selepas pengesahan dan pengiraan yang sangat teliti, saya boleh mengumumkan, jumlah keseluruhan yang dicapai ialah 8,940 strudel, sekali gus menandakan gelaran rekod dunia baharu Guinness,” kata hakim Guinness World Records, Paulina Sapinska, selepas pengu-
    kuran dibuat.

    Rangkaian strudel itu berukuran 3,136 meter panjang dan sempena pesta tradisi kampung yang dikenali sebagai Strudelfest, penduduk bersama sukarelawan telah menyediakan strudel mengikut resipi tempatan serta menyusunnya untuk tontonan umum. “Mereka telah bekerja dengan begitu keras,” kata salah seorang daripada ribuan pengunjung acara tersebut, Monika Ivis.

    “Rasanya sangat sedap,” katanya kepada AFP.

    “Strudel merupakan simbol yang berkait dengan tradisi tempatan,” kata Datuk Bandar wilayah, Martina Furdek Hajdin, sambil menambah, acara sebegini membantu memajukan pembangunan kawasan luar bandar. Strudel yang digunakan untuk memecahkan rekod itu akan didermakan kepada pelbagai institusi, organisasi dan golongan yang memerlukan.

    Jaskovo, yang terletak 66 kilometer di barat daya Zagreb, pernah memegang rekod dunia sedekad lalu dengan mencatat rangkaian strudel sepanjang 1,479 meter.

    Rekod sebelumnya pada 2019 dipegang oleh bandar Sisak, Croatia, dengan hampir 6,000 strudel yang disusun sepanjang lebih 1,762 meter. – AFP

    Strudel sepanjang tiga kilometer kini tersenarai dalam Guinness World Records sebagai strudel terpanjang di dunia, di Jaskovo, Croatia pada 6 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda