PARIS, 18 NOV – Muzium Louvre kelmarin menutup sebuah ruang pameran kepada pengunjung selepas struktur lantai di bahagian sayap selatan bangunan didapati tidak stabil, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Seramai 65 kakitangan turut diarahkan mengosongkan pejabat mereka di sayap berkenaan dalam tempoh tiga hari.
Bahagian yang terjejas ialah Galerie Campana di tingkat satu Sayap Sully, lokasi pameran koleksi seramik Greece Purba.
Louvre memaklumkan bahawa kawasan itu telah dipantau rapi sejak beberapa tahun lalu berikutan kewujudan titik-titik struktur lemah yang berpunca daripada reka bentuk kompleks serta kerja pengubahsuaian pada 1930an.
Laporan yang dibuat pada Jumaat selepas pemeriksaan berkala mendedahkan beberapa kelemahan struktur.
Pakar mendapati sejumlah rasuk sokongan berada dalam keadaan tidak stabil.
Susulan itu, arkitek utama monumen bersejarah memutuskan untuk menutup akses ke pejabat di tingkat dua bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan dan kerja pembaikan dimulakan.
Pihak Louvre berkata pengubahsuaian Sayap Sully merupakan bahagian utama dalam pelan pemulihan menyeluruh yang diumumkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada awal tahun ini. – Bernama

