Sunday, March 30, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Studio rakaman riuh apabila Ain Edruce, Sherry Alhadad berduet

    Ramai tidak menyangka dua pengacara iaitu Ain Edruce dan Sherry Alhadad mempunyai bakat sebagai penyanyi apabila melancarkan lagu duet berjudul Balik Kampung… Gosip Raya.

    Ain atau Nurul Ain Edruce, 34, berkata, dia tidak berfikir panjang memberi kata persetujuan apabila menerima tawaran berduet dengan Sherry, menurut mStar.

    Cerita Ain, proses rakaman lagu tersebut juga cukup menyeronokkan selain dipenuhi gelak ketawa.

    “Saya tak ambil masa lama untuk bersetuju kerana ia adalah satu pengalaman baru dan cabaran harus saya sahut. “Lagipun saya tidak kekok sebab sudah banyak kali bekerjasama dengan Sherry, jadi tidak jadi masalah untuk merakamkan lagu tersebut.

    “Kelakarnya kami berdua sampai keliru dengan vokal masing-masing. Ketika di dalam studio rakaman, kami tidak boleh bezakan mana satu vokal saya dan mana satu pula suara Sherry,” katanya.

    Balik Kampung… Gosip Raya mendapat sentuhan komposer Eugene Lai, Ja’a, Karazey dan Wan Adam Kelly. Liriknya pula ditulis oleh Adam Armin, Adly Kiddy, Eugene Lai, Fatto, Ja’a serta Yusuff Khan.

    Disampaikan secara santai dan berjenaka, bagi Sherry atau Sharifah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 41, lagu itu juga sebenarnya ada nasihat diselitkan kepada pendengar.

    “Bukankah lebih baik kalau kita fokus menikmati hidangan raya daripada sibuk bergosip tentang orang lain? Jadi kalau tidak mahu menjadi bahan gosip, eloklah dengar lagu ini dan ambil iktibar.

    “Ia bukan setakat lagu raya tapi penuh kisah realiti yang mencuit hati. Saya sendiri boleh rasa kemeriahan yang cuba disampaikan,” ujarnya.

    Tambah Sherry, menerusi projek ini juga dia mahu menunjukkan sisi berbeza dirinya yang hanya lebih dikenali sebagai pengacara dan pelakon.

    “Setiap tahun saya akan menyanyi lagu raya tapi secara santai dan berjenaka dalam mana-mana program raya dikendalikan.

    “Pernah juga terfikir seronok kalau ada sebuah lagu raya sendiri. Justeru apabila diberikan tawaran ini, saya tak fikir panjang untuk menerima.” luahnya. – Agensi

    Lagu Balik Kampung…Gosip Raya nyanyian kolaborasi pertama Sherry dan Ain. – mstar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda