LONDON, 10 APRIL – Menurut pengumuman syarikat hiburan dan pegawai kerajaan UK kelmarin, Studio Universal telah memilih tanah kelahiran Harry Potter untuk membina sebuah taman tema dan resort pertamanya di Eropah.
Syarikat studio dan pengendali taman tema yang terkenal dengan tarikan bertemakan dunia sihir Harry Potter dan francais popular lain itu berkata, pembinaan akan dimulakan tahun depan di pinggir kawasan London.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, berkata taman tema itu bakal mewujudkan 28,000 pekerjaan serta membawa peluang, pertumbuhan dan “sudah tentu, kegembiraan kepada Britain.”
“Orang kata kepada saya, ‘Kerajaan ini ibarat roller-coaster,’ dan saya boleh sahkan itu,” kata Starmer. “Tapi saya rasa bukan ini maksud mereka.”
Pembinaan taman itu dirancang di atas tanah seluas 476 ekar (1.93 kilometer persegi) di bekas tapak kilang batu bata di Bedford, kira-kira 80 kilometer di utara London, dan dijangka siap menjelang tahun 2031.
Universal belum mendedahkan tarikan apa yang akan ditawarkan, namun sebelum ini mereka membina permainan bertemakan francais filem seperti “Minions,” “E.T. the Extra-Terrestrial,” “Jurassic Park,” “Kung Fu Panda” dan “Fast & Furious.”
Universal mempunyai perjanjian dengan Warner Bros, untuk membangunkan tarikan berdasarkan francais Harry Potter yang berlatar belakangkan Scotland. – AP
