BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Pameran StudyGlobal anjuran HRDS yang bakal berlangsung pada 6 November di Hotel Radisson akan mengetengahkan beberapa institusi yang menawarkan program-program asas.
Menurut kenyataan HRDS, program-program asas universiti adalah kursus-kursus pra-universiti, biasanya mengambil masa setahun, yang direka khas bagi pelajar-pelajar luar negara dan selalunya termasuk sokongan kemahiran pengajian cemerlang.
Kursus-kursus seumpamanya semakin mendapat pengiktirafan dan penghargaan di Brunei. Kenyataan menyatakan, tarikan utamanya termasuk tempoh pengajian, menjimatkan masa setahun berbanding program-program pra-universiti lain.
Selain itu, kadar gagal bagi yang mengikuti program berkenaan pada asasnya rendah, dengan itu menjamin kemasukan ke universiti bagus.
Awang Hafiz Kifli dari HRDS dipetik sebagai berkata, “Kami mendapati bahawa pelajar-pelajar lebih suka subjek-subjek yang berkaitan langsung dengan ijazah yang mereka pilih.
“Program-program asas universiti cenderung kepada memfokuskan terhadap disiplin tertentu, contohnya kejuruteraan, sains kesihatan, perniagaan dan sebagainya,” ujarnya.
Selain itu, tambah beliau, program-program berkenaan biasanya dijalankan di kampus-kampus universiti dengan akses kepada kemudahan-kemudahan universiti dan mod pengajaran adalah serupa dengan kelas-kelas universiti.
Kenyataan menyatakan, dengan bertemu kakitangan universiti serta pembekal kursus-kursus asas semasa pameran berkenaan, para pelajar dan keluarga akan mendapat gambar lebih jelas mengenai pilihan laluan ke universiti yang sesuai dengan kerjaya mereka.