Oleh Amri HTZ –
Penyelenggaraan halaman rumah amat penting dalam memastikan kawasan sentiasa bersih, teratur dan terpelihara.
Perkarangan rumah yang bersih setentunya akan menjadikan kehidupan terasa lebih nyaman dan bebas tekanan sekali gus mencegah binatang berbahaya atau perosak untuk bersembunyi.
Peralatan asas seperti mesin gergaji rantai merupakan sesuatu yang penting untuk melaksanakannya.
Namun dengan rantai mesin yang tumpul, kerja pemotongan dahan-dahan pokok setentunya menjadi sukar.
Untuk mengasahnya sendiri, memerlukan alat khusus bagi memegangnya yang boleh direka sendiri.
Persediaan awal
• Besi hollow 1 inci x 1 inci
• Bolt berulir berukuran 5/16 inci
• Nat Tee berukuran 5/16 inci
• Besi berukuran 1/8 inci x ¾ inci
• Plat besi tebal ¼ inci
• Rod besi berukuran 1/8 inci dan 5/16 inci
• Mesin pemotong besi (grinder)
• Mesin kimpal
• Alat pengepit besi
• Playar
• Mesin gerudi
• Bench vise
• Tukul
• Cutting disc dan flap disc
Mula pemotongan
Besi 1 inci x 1 inci tersedia akan dipotongkan dengan panjang lebih kurang 4 inci untuk dua batang dan 6 inci sebatang. Gunakan bilah pemotong bersesuaian seperti cutting disc untuk melaksananya. Permukaan potongan yang tajam kemudiannya akan dibersihkan menggunakan flap disc. (rujuk gambar 2)
Salah satu bahagian hujung besi berukuran 4 inci akan ditebuk dengan lubang bagi membolehkan bolt berulir dimasukkan dan menempatkan nat Tee pada bahagian dalamnya. (rujuk gambar 3)
Mata gerudi berukuran 11/32 digunakan bagi membolehkan bolt berulir berpusing bebas. Lubang untuk nat Tee pula akan dibesarkan dengan ukuran 13/32 bagi memasukkannya. (rujuk gambar 4)
Memandangkan rantai mesin lebih lebar daripada batang besi (bar) mesin, ini memerlukan spacer bagi mengelakkannya terkena pada besi pengepit nanti.
Untuk itu, plat besi berketebalan ¼ inci dengan ukuran 1 inci x 1 inci akan dipotong dan dikimpal pada permukaan besi 4 inci yang satu lagi.
Kedudukannya perlu selari dengan nat Tee sebelumnya. (rujuk gambar 5)
Kimpal struktur alat
Bagi mengekalkan kedudukan kedua-dua besi 4 inci sebelumnya, pada bahagian bawahnya akan dikimpal dengan besi berukuran 1 inci x 1 inci dengan panjang 6 inci.
Gunakan teknik tack weld sebelum mengimpal keseluruhan permukaan cantuman. (rujuk gambar 6)
Bahagian tengah alat pengepit akan ditempatkan besi 1/8 inci berfungsi sebagai pemegang batang besi mesin nanti.
Untuk itu potongkan besi berukuran 1/8 inci x ¾ inci dengan panjang 4 inci. (rujuk gambar 7)
Rod besi berukuran 1/8 inci dan 5/16 inci akan dibentuk segi empat sesuai dengan besar luaran besi 1 inci x 1 inci berfungsi sebagai pemegang besi 1/8 inci x ¾ inci sebelumnya.
Sebelum menetapkannya, tebuk lubang pada bahagian bawah besi yang telah dikimpal plat besi sebagai spacer sebelumnya. (rujuk gambar 8)
Langkah akhir
Bolt tersedia yang digunakan untuk mengetatkan alat tersebut akan dikimpal dengan rod untuk memudahkannya diputar.
Memandangkan bahagian tersebut kecil untuk dipegang ketika proses mengimpalnya, bench vise akan digunakan bagi langkah ini. (rujuk gambar 9)
Selain itu, bahagian bawah alat juga akan dikimpal dengan dua rod pada kedua-dua bahagian hujungnya yang berguna untuk menetapkan kedudukan alat pada permukaan kayu ketika ia digunakan.
Pastikan rod pada salah satu bahagian hujung rod ditajamkan sebelum mengimpalnya pada alat tersebut.
Tip
• Teknik tack weld pada permukaan cantuman membolehkan awda menanggalkan cantuman tersebut dengan mudah berbanding mengimpalnya secara langsung pada keseluruhan permukaan cantuman.
• Permukaan kimpalan juga perlu bersih daripada sebarang cat agar kimpalan tetap kukuh.
• Dalam memastikan permukaan kimpalan tidak berlubang, awda boleh melakukan tack weld pada kedudukan berbeza dengan membiarkan besi untuk sejuk seketika.
• Mengikut jenis mesin kimpal dan tebal besi, voltan mesin perlu ditetapkan pada volt yang sesuai bagi mengelakkan besi daripada berlubang atau tidak bercantum kukuh.