Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Bagi meninjau pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di persekolahan agama, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman meneruskan lagi sesi lawatan kerja hari ini ke Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri (SU PAP) Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Seria, Daerah Belait.
Lawatan berkenaan merupakan acara tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bersempena permulaan Sesi Persekolahan Ugama Penggal Pertama bagi Tahun 2025 yang bertujuan untuk menyaksikan lebih dekat prasarana dan kemudahan sekolah agar kondusif untuk warga sekolah yang secara tidak langsung membantu dalam pencapaian pendidikan agama yang berkualiti tinggi dan berkesan.
Hadir sama mengalu-alukan rombongan ialah Guru Besar SU PAP Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Hajah Zahrah binti Yahya.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama memulakan lawatan ke bilik-bilik darjah dan berpeluang berinteraksi dengan murid-murid dan guru-guru secara lebih dekat.
Lawatan diakhiri dengan sesi muzakarah bersama pihak pentadbiran sekolah.
Turut hadir dalam rombongan berkenaan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar.
Juga hadir semasa lawatan kerja tersebut ialah pegawai-pegawai kanan dan para pegawai dari Jabatan Pengajian Islam, KHEU.