Saturday, October 12, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Su Yin makin garang – Widianto

    KUALA LUMPUR, 11 OKT – Ketua jurulatih beregu campuran Malaysia, Nova Widianto kagum dengan gaya permainan pemain beregu campuran Malaysia, Cheng Su Yin yang semakin menjadi dan mula mempamerkan taringnya, sejak akhir-akhir ini.

    Widianto berkata beliau gembira melihat prestasi dipamerkan pemain berusia 21 tahun yang sebelum ini bergelut menampilkan persembahan baik di atas gelanggang biarpun memiliki kualiti seperti ditunjukkannya dalam sesi latihan.

    “Su Yin sudah semakin berani dari segi perjuangannya di atas gelanggang namun masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki untuk kemahirannya,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.

    Bekas pemain Indonesia itu juga berharap agar Hoo Pang Ron dapat menggunakan pengalaman yang ada bagi membimbing pasangannya Su Yin sekali gus mampu membentuk gandingan lebih mantap satu hari nanti.

    “Pang Ron berumur 26 tahun dan saya harap beliau mampu menjadi ketua kepada Su Yin,” katanya.

    Pasangan ranking ke-28 dunia yang digandingkan sejak tahun lepas mempamerkan potensi dengan mengejutkan gandingan ke-15 dunia dari Taiwan, Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang pada pusingan kedua Terbuka Artik 2024 di Vantaa, Finland dengan keputusan 21-19, 21-12.

    Pang Ron-Su Yin bakal berdepan rakan senegara yang juga gandingan ke-10 dunia Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie di suku akhir Terbuka Artik 2024 hari ini selepas pasangan profesional itu menumpaskan Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand 22-20, 21-16, semalam.

    Bulan lepas, juara Cabaran Antarabangsa Malaysia 2023 itu melakar kejutan ke atas pasangan kelapan dunia dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-18, 21-18 pada suku akhir Terbuka Macau 2024. – Bernama

    Aksi Pang Ron (kanan) dan Su Yin pada peringkat pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters Malaysia Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 23 Mei lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda