KUALA LUMPUR, 20 DIS – Pemain beregu campuran Malaysia, Cheng Su Yin teruja untuk membuat penampilan sulung di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur dari 7 hingga 12 Januari ini.
Bagaimanapun di sebalik keterujaannya, atlet berusia 21 tahun yang bergandingan bersama Hoo Pang Ron itu mengakui gementar untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Su Yin berkata bagaimanapun dia tetap berazam memberikan aksi terbaik untuk melangkah jauh di kejohanan berkenaan.
“Memang teruja dan harap boleh mengekalkan prestasi semasa. Sekarang sudah tentu orang sudah baca permainan kami, jadi kena beraksi dengan lebih bagus,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di Kuala Lumpur hari ini.
Pang Ron-Su Yin yang digandingkan pada November 2023 melayakkan diri ke Terbuka Malaysia 2025 selepas berada dalam kelompok 32 terbaik dunia apabila menghuni ranking ke-21 yang merupakan kedudukan terbaik buat pasangan itu.
Pencapaian itu diraih susulan keputusan positif yang dilakar dalam beberapa kejohanan tahun ini, termasuk bergelar naib juara Masters China pada bulan November lepas.
Sementara itu Pang Ron berkata beliau dan Su Yin menyasarkan untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia tahun depan dan perkara itu bukan mustahil, namun memerlukan kerja keras untuk mencapai impian berkenaan.
“Saya rasa ia boleh dicapai, tetapi ketika ini kami masih belum sampai ke tahap itu. Kami memerlukan sedikit masa kerana anda tidak boleh melonjak dalam masa yang singkat.
“Kami harap dapat mencatatkan kemajuan secara berperingkat dengan memberi yang terbaik pada setiap perlawanan, kerana apabila keputusan bertambah baik, ranking juga akan naik dengan sendirinya,” katanya. – Bernama