Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Seramai 72 orang murid, terdiri daripada 49 orang murid lelaki dan 23 orang murid perempuan, Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SU YSHHB), Kawasan Brunei I, diraikan dalam majlis khatam setelah berjaya menamatkan pembacaan Al-Quran 30 juzuk.
Antara yang diraikan pada majlis tahunan sekolah berkenaan ialah cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Pengiran Anak Abdul Muta’ali Haziq Hamidullah bin Pengiran Anak Haji Abdul ‘Ali Yil Kabier dan Pengiran Nur Aabidah Syifa binti Pengiran Anak Haji Mohd Al-Mokhtar.
Hadir selaku tetamu khas pada majlis yang berlangsung di Dewan SU YSHHB itu ialah Setiausaha Tetap (Perancangan Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

