Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Seramai 14 orang pelajar yang lulus dalam Peperiksaan Calon Sekolah Arab bagi tahun 2017 dan 96 orang pelajar cemerlang yang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga dalam peperiksaan akhir tahun 2017 Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SU YSHHB) telah diraikan pada majlis penyampaian hadiah dan sijil yang berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan.
Hadir menyampaikan hadiah dan sijil kepada para pelajar yang diraikan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Bahagian Dasar dan Keugamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.
Antara penerima anugerah pelajar cemerlang bagi peperiksaan akhir tahun itu ialah cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Pengiran Nur ‘Aabidah Syifa binti Pengiran Anak Haji Mohammad Al-Mokhtar.
Daripada jumlah pelajar cemerlang itu, tujuh pelajar terpilih sebagai pelajar terbaik bagi setiap peringkat darjah manakala itu, Awang Mohd Hafiy Nu’aim bin Haji Mohd Sheh diumumkan sebagai penerima hadiah dan sijil pelajar teladan sekolah berkenaan.
Guru Besar SU YSHHB, Awang Azmerul bin Haji Haris menjelaskan, pencapaian pelajar sekolah berkenaan dalam peperiksaan calon Arab tahun ini di tahap yang baik di mana daripada 26 calon yang menduduki peperiksaan itu, 14 orang lulus.
“Jumlah ini mengekalkan sasaran sekolah terhadap peratus lulus yang diperolehi sepanjang tiga tahun kebelakangan melebihi 50 peratus,” tambahnya.
Di samping itu, dua orang pelajar sekolah berkenaan yang menduduki peperikan calon Arab juga telah berjaya mendapat kedudukan 10 teratas terbaik antara keseluruhan calon yang lulus.
Beliau seterusnya menambah, beberapa perubahan dilaksanakan dalam perkembangan SU YSHHB yang telah disusun oleh Jabatan Pengajian Islam dan ini antaranya pada tahun ini pelajar peringkat Darjah Pra diserapkan dengan mata pelajaran Al-Quran dengan menggunakan sukatan serta buku Iqra.
Menurutnya, kaedah ini sangat mudah diikuti oleh pelajar dan digunakan secara meluas dalam pengajaran Al-Quran di masjid-masjid dan kelas bimbingan Al-Quran di negara ini.
Keadah ini akan diteruskan dan dikembangkan pada tahun 2018 di semua peringkat pelajar bermula Darjah Pra dan Darjah 1 di mana pada tahun seterusnya, pelajar tersebut sudah boleh membaca Al-Quran seawal Darjah 2.
Sementara itu, JPI juga telah menaikkan standard kualiti pengajaran guru dan pembelajaran murid di sekolah-sekolah agama seperti yang dipraktikkan oleh Kementerian Pendidikan dengan menerapkan Program Standard Guru Brunei (BTS).
Program ini antara lain bertujuan memastikan kualiti pengajaran yang tinggi serta menghasilkan pembelajaran yang lebih baik sejajar dengan hasrat kerajaan ke arah mencapai Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035.
Ke arah mencapai hasrat tersebut, jelasnya, sekolah telah menubuhkan Pasukan Kepimpinan Sekolah (SMT) yang terdiri daripada guru besar, penolong guru besar serta guru-guru kanan yang berperanan membuat pencerapan pengajaran dan pembelajaran guru serta murid dalam bilik darjah menggunakan instrumen Penilaian Prestasi Guru (TPA).
Dalam usaha mencapai hasrat ini, tambah beliau lagi, sokongan ibu bapa dan penjaga terhadap perubahan tersebut di perlukan bagi sama-sama membantu pihak sekolah dalam usaha memberikan pendidikan agama yang terbaik.