Pelakon Fimie Don mendedahkan suami aktres Faezah Elai iaitu pengarah, Heykal Hanifah sebagai individu penting yang menjadi pendorong dia melangkah semula dalam dunia lakonan.
Fimie atau Shafimie Saedon, 26, memberitahu dia juga pernah dimarahi oleh pengarah tersebut kerana melakukan pekerjaan lain termasuk bekerja di kedai serbaneka bagi menampung kehidupan.
“Sepanjang saya tak berlakon, saya buat macam-macam kerja termasuklah jadi kru taman tema dan pembantu kedai.
“Abang Heykal marah saya dan suruh saya kembali semula berlakon,” katanya.
Menurut mStar, Fimie berkongsi perkara itu ketika muncul dalam sesi podcast Studio Sembang bersama Amelia Henderson yang dimuat naik di YouTube.

Dalam pada itu, Fimie memberitahu dia tidak terus kembali ke dunia lakonan sebaliknya Heykal memberinya tugas sebagai pekerja belakang tabir.
Jelas Fimie, dia terpaksa melalui proses tersebut untuk menyesuaikan diri kerana sudah lama tidak berlakon.
“Saya pernah terlibat menjaga prop dan pakaian di set, jaga konti skrip dan pernah juga jadi pembantu pengarah.
“Saya juga pernah disuruh mengarah beberapa episod drama yang diarahkan oleh Abang Heykal.
“Tak lama selepas itu, dia beritahu saya yang saya sudah bersedia untuk berlakon dan meminta saya merubah imej untuk kelihatan lebih matang,” kongsinya. – Agensi