Bagi meringankan beban isteri, suami pelakon Intan Najuwa menyediakan tiga orang pengasuh agar dapat menjaga anak sulung mereka Imane Lunara dengan baik.
Intan atau Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, berkata suaminya iaitu Datuk Ahmad Azraf Azman mengupah pembantu kerana tidak mahu dia terlalu penat mengurus anak.
“Luna kini mempunyai tiga pengasuh, dan mereka semua tinggal bersama kami. Satu membantu pada siang hari, satu lagi membantu pada waktu malam, dan seorang lagi menjaga barang-barang Luna.
“Suami saya yang mengatur semua ini untuk memastikan saya mendapat rehat yang cukup dan menjaga diri saya,” katanya.
Intan berkongsi perkara itu di Instastory miliknya selepas mendapat pertanyaan dari salah seorang pengikutnya.
Dalam hantaran tersebut, Intan turut berkongsi beberapa foto pengasuh yang menjaga anaknya itu.
Jelas Intan, dia tidak melepaskan tanggungjawab sebagai ibu kepada pengasuhnya sebaliknya dia juga menguruskan puteri sulungnya itu.
Malah dia juga tidak pernah meminta agar diberi kesenangan tersebut namun suaminya mahukan terbaik buat mereka.
“Saya juga menjaga Lunara, pengasuh hanya membantu dan menyokong saya dengan segala-galanya. Dan saya tidak pernah meminta semua ini, suami saya yang mengatur semuanya.
“Saya bersyukur dengan segala yang dia lakukan untuk saya. Ibu-ibu, jangan menghakimi saya, okey?,” ujarnya.
Untuk rekod, Intan mendirikan rumah tangga dengan usahawan Datuk Ahmad Azraf Azman Ogos 2023 dan dikurniakan mereka dikurniakan cahaya mata pertama, Imane Lunara pada 15 Disember tahun lalu. – Agensi
