IPOH, 15 JAN – Pasangan suami isteri yang ditahan kerana disyaki menyeleweng kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Malaysia berjumlah RM9.62 juta dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah hari ini.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membenarkan permohonan polis untuk membebaskan lelaki berusia 50 tahun dan isterinya berumur 53 tahun itu dengan jaminan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebanyak RM50,000 seorang.
Terdahulu, pasangan itu yang berpakaian biasa tiba di Mahkamah Majistret di sini dengan diiringi anggota polis pada 9:30 pagi.
Mereka kemudian dibebaskan kira-kira 20 minit kemudian.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret di Ipoh membenarkan suspek ditahan reman tujuh hari mulai 6 Januari lepas bagi membantu siasatan, kemudian tempoh reman tersebut dilanjutkan kepada 12 Januari, iaitu tiga hari lagi sehingga semalam.
Pasangan suami isteri itu yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat MAIPk, ditahan di Kuala Lumpur kira-kira 12:35 tengah hari pada 5 Januari lepas. – Bernama