Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suami isteri edar dadah didakwa

    SLIM RIVER, 22 NOV – Sepasang suami isteri dan seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di Perak hari ini atas pertuduhan mengedar dadah seberat 51.974 kilogram pada 11 November lepas.

    Mohammad Amirul Samsudin, 27, dan isteri Zaharah Farhana Zamri, 26, serta rakan mereka Muhammad Firdaus Nazeri, 25, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret G Phulrani Kaur.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mereka didakwa mengedar 51.974 gram dadah jenis methamphetamine di parkir sebuah Pusat Perniagaan Slim Perdana, Jalan Perdana dalam daerah Mualim pada 3.35 petang 11 November lepas.

    Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah dihukum sebatan tidak kurang 12 kali. 

    Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 24 Januari tahun depan sebagai tarikh serahan laporan kimia dan sebutan semula kes.

    Pada 14 November lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kontinjen Perak dan Perlis menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri di kawasan tempat letak kereta di sebuah Pusat Perniagaan Slim Perdana. 

    Ketiga-tiga individu berkenaan berperanan sebagai transporter (penghantar) dan polis mendapati 50 bungkusan plastik mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine di dalam beg pakaian yang diletakkan di but sebuah kenderaan. 

    Modus operandi sindiket itu dengan menyeludup masuk bekalan dadah dari negara jiran dan diedarkan untuk pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang menggunakan jalan darat. – Bernama

    Sepasang suami isteri, Mohammad Amirul Samsudin (depan, kanan) dan isteri Zaharah Farhana Zamri (belakang) serta rakan mereka Muhammad Firdaus Nazeri (depan, kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Slim River, Perak. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda