Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suami isteri maut dirempuh lembu di Alp Austria

    VIENNA, 2 SEPT – Seorang pendaki di Alp Austria maut selepas sekumpulan lembu merempuhnya dan isteri ketika berjalan bersama anjing mereka di sebatang laluan hutan, menurut polis, kelmarin.

    Mangsa berusia 85 tahun dan pasangannya, 82, sedang mendaki menuju sebuah pondok gunung di Ramsau am Dachstein, wilayah Styria, Austria pada petang Ahad ketika insiden berlaku, menurut polis.

    “Sepasang pesara dari Vienna bersama anjing mereka sedang berjalan berhampiran sebuah pondok apabila sekumpulan sembilan ekor lembu, termasuk tiga anak lembu, tiba-tiba menyerang dan mencederakan mereka dengan teruk,” kata jurucakap polis tempatan, Markus Lamb, kepada AFP.

    Pendaki lain di kawasan tersebut serta pengunjung pondok berhampiran menyaksikan serangan itu, memberikan bantuan cemas sebelum memaklumkan perkhidmatan kecemasan, dengan suami isteri berkenaan dibawa ke hospital.

    Namun, lelaki tersebut telah disahkan meninggal dunia sejurus sebelum sempat menjalani pembedahan kecemasan di sebuah hospital di Salzburg. Kini, pendakwa sedang menyiasat keadaan sebenar serangan itu sementara menunggu keputusan bedah siasat.

    Kejadian serupa juga pernah berlaku pada 2024, apabila seorang wanita yang ditemani dua ekor anjing kecil ketika mendaki di wilayah Salzburg meninggal dunia selepas diserang sekumpulan lembu.

    Susulan serangan lembu maut sedekad lalu, kerajaan Austria mengeluarkan ‘kod tingkah laku’ untuk pendaki, antaranya mengekalkan jarak daripada lembu serta memastikan anjing diikat dengan tali pendek, namun perlu dilepaskan sekiranya berlaku serangan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda