SIBU, 10 NOV – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang mereka naiki hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori rosak yang diletakkan di tepi jalan di Kilometer 97 Lebuhraya Pan Borneo Sibu–Bintulu, berhampiran Spiring, Selangau, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhammad Rizal Alias, berkata dalam kejadian kira-kira 7:45 semalam, mereka yang maut ialah penunggang motosikal dikenal pasti sebagai Kelly Baling, manakala pembonceng ialah isterinya Belula Amin, kedua-duanya berusia 28 tahun.
“Hasil siasatan mendapati motosikal yang ditunggang mangsa bersama-sama isterinya dalam perjalanan dari arah Bintulu menuju ke Selangau telah hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu jalan.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Selangau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat pasangan itu dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama


