Saturday, September 28, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suami isteri parah dihempap pokok tumbang

    KANGAR, 23 JUN – Sepasang suami isteri cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Kangar, Perlis, Malaysia, awal pagi hari ini.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Baeyah Abdul Wahab berkata dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa Muhammad Danish Hakim Hanizam, 18, patah tulang paha kanan manakala isterinya Nuraleya Syazreena Roslan Anuar, 18, mengalami pendarahan dalam kepala serta patah tulang pinggang kiri dan kanan manakala anak damit dalam kandungan berusia lima bulan meninggal dunia.

    “Ketika itu motosikal yang ditunggang oleh isteri manakala suami menjadi pembonceng dari kedai makan di Sungai Baru, Simpang Empat hendak balik ke rumah di Kampung Sungai Bugis.

    “Sampai di lokasi kejadian, sebatang pokok telah tumbang menghempap motosikal dinaiki mereka. Pokok tumbang ini berlaku dalam kejadian ribut awal pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Baeyah berkata kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk rawatan lanjut.

    Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata terdapat 31 kes pokok tumbang setakat 10 pagi tadi yang dikendalikan pihak APM Perlis berikutan kejadian ribut yang mula berlaku kira-kira 2 pagi tadi. – Bernama

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda