PARIS, 26 FEB – Seorang lelaki yang mengaku membunuh isterinya dengan mayat wanita itu ditemui di sebuah taman di sini telah didakwa semalam atas tuduhan membunuh, kata peguamnya dan pendakwa raya.
Lelaki berasal dari Montreuil itu menafikan mempunyai niat untuk membunuh isterinya, jelas peguamnya, Dominique Beyreuther-Minkov kepada pemberita. Suspek yang ditahan polis sejak pagi Khamis membuat laporan bahawa isterinya hilang pada 3 Februari lalu.
Dia turut memuat naik hantaran mengenai kehilangan isterinya itu di media sosial pada 31 Januari. Saluran berita Perancis, BFMTV minggu lalu melaporkan bahawa polis curiga susulan apa yang diceritakan oleh suspek disifatkan sebagai tidak konsisten.
Pada 13 Februari lalu, pekerja di sebuah taman yang juga lokasi tumpuan keluarga berkelah dan berjoging menemui beg plastik mengandungi bahagian bawah anggota badan mangsa termasuk pahanya di taman Buttes-Chaumont, dekat timur laut Paris.
Operasi pencarian pada hari berikutnya, menemukan sebahagian lagi anggota badan wanita itu termasuk kepalanya yang kemudian dikenal pasti menggunakan cap jari. – AFP