Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suami Nikita didakwa ‘songlap’ dana syarikat RM250 juta

    Suami pelakon Indonesia, Nikita Willy iaitu usahawan Indra Priawan sekali lagi menjadi tumpuan apabila muncul dakwaan baharu melibatkan kes penyelewengan dana syarikat yang dikatakan mencecah nilai sehingga Rp1 trilion (anggaran RM250 juta).

    Menurut laporan Terkenal.co, isu itu kembali hangat diperkatakan susulan gaya hidup mewah pasangan selebriti itu yang sering dipaparkan di media sosial.

    Perkongsian mengenai aset mewah, percutian eksklusif dan gaya hidup mewah yang dikongsi secara terbuka mengundang reaksi pelbagai pihak, khususnya dalam kalangan warganet apabila sumber kekayaan mereka mula dipersoalkan.

    Meskipun jumlah tersebut belum disahkan oleh pihak berkuasa, laporan tersebut cukup untuk mencetuskan kebimbangan dan spekulasi meluas.

    Memetik laporan mStar, sehingga kini, pihak Indra Priawan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan tuduhan terbaharu ini.

    Nikita dan suami sering memaparkan gaya hidup mewah di media sosial. – mStar

    Sebelum ini, Indra turut dikaitkan dengan kes tuntutan oleh ibu saudaranya, Mintarsih, yang mendakwa dia telah menyeleweng saham dan dana milik keluarga daripada syarikat pengangkutan terkenal Indonesia, Blue Bird Group.

    Menurut Mintarsih, saham yang sepatutnya menjadi haknya didakwa telah dinikmati oleh Indra sejak tahun 2001.

    Malah, Mintarsih turut membangkitkan isu gaya hidup mewah pasangan itu kerana dianggap tidak mencerminkan keadaan syarikat yang sedang berdepan isu dalaman.

    Dalam masa yang sama, kes lama berhubung tuntutan saham oleh Mintarsih masih belum selesai dan difahamkan telah dibawa ke peringkat peninjauan kembali (PK) di Mahkamah Agung Indonesia.

    Setakat ini, siasatan rasmi oleh pihak berkuasa masih belum diumumkan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda