Pernah alami kemurungan melampau gara-gara konsert dibatalkan, penyanyi Noraniza Idris bersyukur dikurniakan seorang suami yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam karier seninya.
Kata Noraniza, 57, suaminya iaitu Jeffri Hudi adalah individu yang menyelamatkan dia daripada mengambil ubat secara berlebihan kerana terlalu tertekan.
“Dua tahun lalu masa saya alami kemurungan melampau, suamilah orang yang membantu saya pulih daripada perkara tersebut.
“Ketika itu saya sedang menangis dan tak sedar ambil pil secara berlebihan kerana tertekan, Jeffri datang tenangkan saya dan minta saya ingat Allah.
“Perkara tersebut masih segar dalam ingatan, tapi saya sangat bersyukur dikurniakan seorang suami sangat membantu memulihkan emosi dan perasaan saya,” katanya kepada mStar.
Untuk rekod, Noraniza berkahwin dengan Jeffri, 66, pada September 2011. Perkahwinan itu merupakan yang ketiga Noraniza dan kedua buat Jeffri.
Mempunyai rasa cinta yang kuat terhadap seni dan budaya, Noraniza kecewa kerana ketika itu masyrakat seakan-akan tidak memerlukan dirinya lagi dalam industri.
Malah, Noraniza merasakan kebahagiaan dirinya seperti dirampas sejingga buatkan dirinya alami kemurungan.
“Cinta saya kepada seni dan budaya terlampau kuat dan sukar nak ungkapkan.
“Bila terjadi insiden konsert tak jadi, suasana komuniti seni dan budaya tidak menyebelahi saya dan daripada situ saya rasa tertekan sebab itu kebahagiaan saya.
“Bila masyarakat tak percaya pada saya, ketika itu saya rasa sangat sedih sampai alami kemurungan tujuh bulan lamanya,” ujarnya.
Sebelum ini, Noraniza mendedahkan dirinya alami kemurungan selama tujuh bulan lamanya kerana ditipu penganjur Konsert Malai Solo.
Konsert tersebut yang sepatutnya berlangsung pada Oktober 2022 terus dibatalkan. – Agensi
