AVIGNON, PERANCIS, 16 DIS – Lelaki Perancis mengaku mengupah puluhan orang asing untuk merogol bekas isterinya, memohon keampunan dari keluarganya dan memuji keberanian bekas isterinya semasa perbicaraannya, hari ini.
“Saya ingin memulakan dengan memuji keberanian bekas isteri saya,” kata Dominique Pelicot dalam kenyataan terakhirnya kepada mahkamah sebelum keputusan dijangka keluar minggu ini.
“Saya menyesal dengan apa yang saya lakukan, menyebabkan (keluarga saya) menderita.
Saya memohon maaf kepada mereka,” katanya, sambil meminta keluarga untuk ‘menerima permohonan maaf saya’.
Dalam perbicaraan yang mengejutkan negara itu, Dominique Pelicot, 72, mengaku telah memberi dadah kepada bekas isterinya, Gisele Pelicot, selama hampir satu dekad bagi membolehkan dia dan orang asing yang direkrutnya dalam talian merogolnya.
Gisele Pelicot, 72, kini dianggap sebagai simbol keberanian feminisme di Perancis dan luar negara kerana enggan berasa malu serta berani menghadapi penyerangnya di mahkamah.
Selain bekas suaminya, seramai 50 lelaki berusia antara 27 hingga 74 tahun turut dihadapkan ke mahkamah, termasuk seorang yang tidak mencederakannya tetapi didakwa merogol isterinya sendiri dengan bantuan Dominique Pelicot.
Dominique yang duduk di kandang kaca defendan mengesahkan bahawa dia telah memberitahu ‘kebenaran sepenuhnya’ sejak prosiding perbicaraan bermula pada 2 September lalu di bandar Avignon, selatan Perancis. – AFP
