Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Suara Belia Brunei, baru-baru ini telah menerima kunjungan muhibah dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang diketuai oleh Setiausaha Tetap di KKBS, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.
Antara tujuan kunjungan muhibah bersama ketua-ketua jabatan di bawah KKBS itu adalah untuk membincangkan program-program yang telah Suara Belia Brunei kendalikan di kolej-kolej dan institusi Brunei beberapa bulan sebelumnya.
Sebagai sebahagian daripada program tersebut, Suara Belia Brunei membuat inisiatif untuk mendengarkan para belia, untuk mengemukakan dapatan dan menjadi hubungan antara generasi hari ini dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
Kunjungan muhibah itu turut diakhiri dengan penyampaian buku pengenalan Suara Belia Brunei kepada Datin Paduka Dr Hajah Norlila yang disempurnakan oleh Pengasas Ahli-ahli Suara Belia Brunei, Awang Mohd Umair Akmal, Dayang Nuur Nadhirah Hanizam dan Dayang Nazihah Hipni untuk disampaikan kepada Menteri KKBS, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Suara Belia Brunei adalah sebuah organisasi masyarakat untuk memperkasakan generasi hari esok.
Organisasi tersebut berhasrat untuk menjadi ‘pangkalan’ tempat orang ramai boleh menjadi sukarelawan merentas semua peringkat umur untuk tujuan kemasyarakatan dan ke arah pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035 berpandukan prinsip-prinsip Melayu Islam Beraja.