Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suara di telinga jentik hati tinggalkan Raihan

    Suara berbisik di telinga yang meresap sanubari meminta agar kerja dakwah diteruskan, menjentik Nazrey Johani, 50, meninggalkan kumpulan nasyid popular, Raihan, kira-kira 16 tahun lalu.

    Kali pertama mendedahkan punca berundur daripada Raihan yang mencetuskan fenomena sebaik muncul di persada seni, Nazrey berkongsi peristiwa dialami pada Januari 2006, usai kerja dakwah di Sabah yang mendorong beliau membuat keputusan drastik itu.

    “Sehari selepas program dakwah di Sabah selesai dan saya sudah tunaikan solat Asar, tiba-tiba saya dengar suara di telinga yang masuk ke dalam hati.

    “Suara itu beritahu, Nazrey, teruskanlah kerja dakwahmu tetapi ingat, yakinlah dengan rezeki-Ku. Itulah pesanannya.

    “Insya Allah, saya percaya itu (bisikan) daripada Allah. Allah tidak serupa apa pun. Kalau awak tidak nampak rupa bentuk yang bercakap itu, Insya Allah, itu adalah Allah sebab ia (mesej disampaikan) terus turun ke hati,” katanya.

    Nazrey mengaku tersentak selepas insiden itu.

    “Kata-kata itu membuatkan saya faham. Kalau mahu buat kerja dakwah, saya kena berhenti daripada Raihan.

    “Tetapi apabila saya berhenti daripada Raihan, saya kena bersedia untuk rasa susah. Saya tidak akan seperti dahulu.

    “Dahulu, saya tidur di hotel, makan dijaga dan sebagainya. Tetapi apabila kerja dakwah, saya kena pandai-pandai makan.

    “Berdakwah bukan kerja profesional yang mempunyai pendapatan besar,” katanya yang bulat tekad meninggalkan Raihan selepas 14 tahun bersama kumpulan nasyid itu. – Agensi

    Nazrey bersyukur ibu memberi restu dan menjadikan dirinya lebih yakin dengan keputusan meninggalkan dunia glamor. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda