Oleh Aqilah HMS –
Jam sudah melewati pukul 11 malam. Di bangunan pejabat kecil itu, hanya tinggal aku seorang diri. Rakan sekerja lain sudah lama pulang sejak lepas Maghrib tadi. Tugasku belum selesai, laporan yang perlu dihantar kepada bos esok pagi mesti disiapkan malam ini juga. Kalau tidak, pasti aku akan dimarahi kerana selalu menangguh kerja.
Bilik pejabat sunyi. Hanya bunyi ketikan papan kekunci menemani malam. Sesekali terdengar bunyi kipas siling berderit perlahan, seolah-olah mengeluh. Aku cuba tidak peduli, mata hanya tertumpu pada skrin komputer. Lama-kelamaan, rasa penat semakin menekan kelopak mata, tapi aku tahan juga.
Tepat jam 12:30 malam, akhirnya tugasan siap. Aku menarik nafas lega, mengemaskan meja dan menutup komputer. Aku matikan lampu bilik dan melangkah keluar, menuruni tangga ke tingkat bawah.
Namun, baru separuh jalan menuruni anak tangga, aku teringat sesuatu.
“Alamak! handphone aku tertinggal atas meja,” bisikku perlahan.

Tanpa membuang masa, aku berpatah semula ke atas. Lampu bilik sudah dimatikan, jadi aku perlu melangkah dalam samar-samar cahaya dari tingkap. Sampai sahaja di meja, aku nampak telefon bimbitku terletak di sebelah fail. Aku menggapai dan memasukkannya ke poket.
Saat itulah, satu suara halus kedengaran, “Heyyyyyy…”
Suara itu panjang, perlahan, tapi cukup jelas di telinga. Aku tersentak, berpusing ke arah belakang. Kosong. Tiada sesiapa pun. Bulu roma di tangan mula menegak. Aku cuba menenangkan diri, berbisik dalam hati, “Ah, mungkin aku penat sangat, halusinasi agaknya.”
Cepat-cepat aku melangkah keluar dari bilik dan turun tangga. Namun, baru beberapa anak tangga ku jejaki, telingaku menangkap bunyi lain, “Dupp… dupp… dupp… dupp…”
Seperti bunyi tapak kaki orang berlari dari arah atas, mengejarku. Aku berhenti seketika, cuba menoleh, tapi tiada siapa. Sunyi. Namun bunyi itu jelas, langkah kaki yang tergesa-gesa mendekat.
Aku rasa seram menjalar ke seluruh badan. Nafasku jadi pendek. Tanpa fikir panjang, aku mempercepatkan langkah ke bawah. Hati hanya terdetik satu perkara, ‘aku mesti keluar dari bangunan ini’.
Sampai di tingkat bawah, aku menoleh seketika ke arah tingkap kaca yang berdepan dengan gudang. Ketika itu, mataku terpaku.
Jelas kelihatan bayangan seorang pekerja berdiri kaku di dalam pejabat, seakan-akan sedang memerhati ke arahku. Bayangan itu samar, namun bentuk tubuhnya nyata. Aku kaku beberapa saat.
Dengan beraninya aku menoleh ke belakang, ke arah dalam pejabat. Kosong. Tiada seorang pun di situ. Bulu tengkukku meremang.
Aku menelan air liur, cuba meyakinkan diri. “Mungkin pantulan cahaya,” aku cuba menipu hati, walaupun logikku menolak alasan itu.
Aku berjalan keluar dari pejabat, menuju ke gudang yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari bangunan utama. Baru beberapa langkah, aku teringat sesuatu lagi, earpiece aku tertinggal di dalam gudang petang tadi. Aku perlukan earpiece itu untuk kerja esok.
Dengan berat hati, aku menapak ke pintu gudang. Kawasan sekeliling sunyi, hanya ditemani cahaya lampu jalan yang malap. Aku cuba beranikan diri, membuka pintu gudang. Bunyi engsel pintu berkeriut panjang, menambah rasa seram.
Suasana dalam gudang lebih menyeramkan. Bau habuk dan kayu menusuk hidung. Aku masuk perlahan-lahan, cuba mengingati di mana aku meletakkan earpiece tadi.
Saat melangkah lebih jauh, aku tiba-tiba merasakan bulu tengkukku menegak tanpa sebab. Udara sejuk menghembus dari arah belakang, membuat aku terhenti. Jantungku berdetak kencang, seolah-olah memberi isyarat sesuatu tidak kena.
“Ahh.. aku ambil cepat-cepat,” bisikku sambil melangkah laju ke meja penyimpanan kecil di hujung gudang. Benar, earpiece aku masih terletak di situ. Dengan tangan sedikit menggigil, aku mencapainya.
Baru sahaja hendak berpaling keluar, telingaku menangkap bisikan halus, “Byeeee…”
Suara perempuan, lembut tapi mendayu, seolah-olah berada betul-betul di belakang telingaku. Aku tergamam, darahku terasa membeku. Aku berpusing dengan pantas, namun sekali lagi, kosong. Tiada siapa di situ.
Aku tidak tunggu lagi. Dengan tangan yang masih menggigil, aku berlari keluar dari gudang, menutup pintu sekuat hati dan menguncinya. Nafasku terhuyung-hayang, seakan-akan baru selesai berlari maraton.
Namun, sebelum aku sempat melangkah jauh dari gudang itu, telingaku sekali lagi menangkap sesuatu. Bunyi ketukan perlahan, seperti ada yang cuba mengetuk dinding dari dalam.
Aku tidak berani menoleh lagi. Dengan sisa keberanian yang tinggal, aku berlari ke arah kereta yang terparkir di hujung bangunan. Enjin segera dihidupkan, dan aku terus meninggalkan kawasan pejabat serta gudang itu tanpa menoleh ke belakang.
Malam itu, aku pulang dengan perasaan bercampur baur, takut, hairan dan trauma. Sejak dari kejadian itu, jika ada kerja yang belum siap lagi, aku tidak akan sesekali rela tinggal seorang diri di pejabat itu.

